Bukan kali pertama, ini 3 kisah 'sakau' bola sepak lokal paling sukar dilupakan


  • Podium
  • Rabu, 01 Mei 2024

Dari kiri: Davis, Imad dan Achmad Jufriyanto merupakan tiga nama yang pernah terlibat dalam isu penipuan bola sepak negara.

SATU kejadian menghangatkan tercetus baru-baru ini sehingga mengejutkan peminat bola sepak tanah air apabila bekas penyerang Perak FC, Seo Seon-ung mendedahkan bahawa dia tidak menerima bayaran gaji selama enam bulan.

Pendedahan itu boleh dikatakan cukup menghairankan kerana skuad The Bos Gaurus (TBG) tidak mengalami sebarang masalah gaji seperti mana dialami beberapa pasukan lain.

Bagaimanapun, isu tersebut segera dipadam apabila pengerusi kelab, Datuk Seri Azim Zabidi menjelaskan pihaknya sudah membuat bayaran.

Perkhabaran demikian sekali gus menimbulkan kesangsian kerana satu-satunya faktor Seo boleh tidak menerima bayaran adalah apabila ejen mewakilinya tidak menyalurkan wang diterima.

Meskipun sudah tampil menidakkan kenyataan awal dikeluarkan, kisah itu sedikit sebanyak menceritakan masih terdapat penipuan berkisar dalam arena bola sepak tempatan.

BACA LAGI: 'Bukan saya', ejen Seo nafi ada tunggakan gaji 6 bulan, anggap hanya salah faham

IPOH, 12 Mac -- Pemain Pasukan Perak FC Seo Seonung (kanan) mengejar bola ketika bertemu pasukan Kuching City FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Perak malam ini.Keputusan semasa Perak FC mendahului 1-0--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Seo mendedahkan dirinya tidak menerima bayaran gaji sebelum menarik semula kenyataan itu.

Situasi berkenaan pastinya menimbulkan persoalan apabila rata-rata penyokong berasa hairan isu sebegitu boleh berlaku dengan sukan itu berusaha menghala ke arah profesionalisme.

Malah, masalah tersebut pernah cuba 'diperangi' Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tidak mahu perkara sedemikian berulang memandangkan ia boleh mendatangkan kerugian.

Usaha tersebut boleh dikatakan masih belum membuahkan hasil memandangkan masih terdapat individu atau kelab yang terpedaya akan kata-kata dan perancangan pihak tidak bertanggungjawab.

Ini kerana terdapat tiga momen sebelum ini yang pernah menyaksikan penipuan mencoret momen hitam dalam arena bola sepak tempatan dengan mangsa hanya boleh mampu terdiam seribu bahasa.

1. Imad Ghaddar menipu Perak

Dalam menyelesaikan isu ketumpulan jentera serangan pada 2014, skuad TBG pernah mengambil keputusan untuk membawa masuk import dari Lubnan, Imad Ghaddar.

Majlis perasmian penyerang berkenaan sememangnya cukup meraih kerana dia diumumkan di samping seorang lagi rekrut baharu yang juga berasal dari negara sama, Hassan Daher.

Bagaimanapun, harapan penyokong untuk menyaksikannya bersinar bersama Perak tidak kesampaian apabila dia tidak pernah beraksi walaupun satu perlawanan.

BACA LAGI: Perak FC dah bayar, mungkin ejen tak 'release payment' Seo Seonung — Azim Zabidi

10003461_653425934751128_1574857305_n

Imad (kanan) dituduh menipu pihak pengurusan dan penyokong Perak atas kelakuannya itu. Facebook/Imad Ghaddar

Berdasarkan pendedahan dibuat bekas pengurus pasukan, Datuk Azhar Ahmad selepas pemain itu mengadu mengalami kesakitan sehingga menyebabkannya tidak dapat diturunkan berdepan Selangor.

Malah, pengurus berkenaan tampil menyelar Imad dengan melabelkannya sebagai seorang 'penipu' rakyat Perak selain berhasrat mengheret kes berkenaan ke FIFA.

Situasi itu jelas memberi satu tamparan hebat ketika jendela perpindahan kedua mereka sehingga menyaksikan mereka berada di tangga kesembilan Liga Super.

Kini, pemain yang sudah berusia 33 tahun tersebut masih beraksi di negara kelahirannya bersama Ahli Nabatieh yang kini menduduki tangga ke-10 liga selepas 11 perlawanan.

2. Ejen Achmad Jufriyanto menipu KLFA

Beberapa tahun lalu, Kuala Lumpur yang masih kurang dikenali pernah memilih untuk membawa seorang pemain pertahanan dari Indonesia, Achmad Jufriyanto.

Dia yang memiliki reputasi cukup baik, termasuk pernah memakai lilitan tangan kapten ketika bersama Persib Bandung diharap dapat membawa pasukan Lembah Klang itu.

Namun, harapan diletakkan tidak membuahkan hasil kerana ejen kepada pemain itu menipu kelab tersebut sehingga menyaksikan mereka terpaksa menanggung kerugian.

WhatsApp Image 2024-04-30 at 17.59.10

Kes Achmad Jufriyanto menjadikan KLFA lebih cakna dalam hal pengambilan import. Facebook/KLFA

Berdasarkan laporan terdahulu, wakil Achmad Jufriyanto bertindak menyembunyikan isu kecederaan dialaminya agar pihak pengurusan Kuala Lumpur mendapatkan khidmatnya.

Kecewa akan keadaannya, kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan kontrak mereka lebih awal yang kemudian membolehkan bek tengah itu kembali ke Liga 1 Indonesia bersama Persib Bandung.

Kariernya kini masih diteruskan meskipun usianya sudah mencecah 37 tahun dengan dia berada di bawah bekas pengendali Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak.

Tindakan ejen pemain itu turut menyaksikan skuad Warga Kota semakin berhati-hati dalam memilih import setiap musim dengan ia merupakan kunci di sebalik kejayaan dicatatkan tahun-tahun kebelakangan ini.

3. Pemain Kenya ditipu ejen palsu

Tahun lalu, seorang pemain dari Kenya memasang hasrat untuk beraksi dalam Liga Super sehingga membuatkannya sanggup membayar sejumlah wang demi merealisasikan cita-cita itu.

Dia yang dimaksudkan ialah Davis Agesa Amuzu dengan episod penipuannya bermula selepas bertemu seorang ejen dari Ivory Coast yang mengatakan dia boleh membawanya ke Liga Super.

Bagaimanapun, selepas tiba di negara, dia dilaporkan terputus hubungan dengan individu palsu itu, sekali gus membuatkannya sebatang kara tanpa hala tuju.

davis-agesa-amuzu_2

Davis (tengah) terkandas di Malaysia untuk kira-kira empat bulan setelah ditipu.

Lebih menyedihkan lagi, pemain berkenaan terpaksa tidur di tepi jalan sehingga kisahnya tersebut menerima perhatian meluas di peringkat FIFA.

Jadi, untuk membantunya pulang, pihak Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) tampil memberikan bantuan selepas empat bulan terdampar.

Kisah itu juga membuatkan lebih ramai pemain cakna akan kepentingan memiliki seorang ejen berkredibiliti dalam memastikan masa depan masing-masing terjamin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram