KEMPEN pramusim kelab Liga Super kali ini menyajikan aksi terbaik dengan rata-rata kelab semakin bersedia untuk menghadapi musim baharu.
Seperti biasa, Johor Darul Ta'zim (JDT) tampil dengan kelainan apabila mengadakan sesi di Sepanyol sambil berdepan beberapa pasukan di negara Eropah itu.
Dua pasukan lagi, Selangor FC dan Sri Pahang FC turut berbuat demikian dengan menjalani latihan selama kira-kira seminggu di luar negara.
BACA LAGI: [VIDEO] Dari Ganu ke JDT, Aqil kini menyerlah di Singapura, bantu tewaskan Barcelona
Skuad Harimau Selatan mengadakan sesi pramusim di Sepanyol. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Bagi 10 pasukan Liga Super 2024/25 yang lain, mereka mengambil pendekatan bersederhana apabila hanya mengadakan aksi pramusim dalam negara dengan beberapa kelab dipilih sebagai lawan.
Persiapan pramusim bukan sahaja dapat membantu ketua jurulatih mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pasukan kerana ia juga mampu menjadi platform buat rekrut baharu menyesuaikan diri.
Meskipun masih sempat untuk mengenal pasti gaya permainan ketika latihan, perlawanan persahabatan ketika tempoh pramusim dapat membantu mereka merasai situasi sebenar ketika beraksi.
Peluang itu diambil dengan baik oleh tiga pemain yang beraksi dengan cemerlang dalam kelab baharu, yang sekali gus berjaya menambat hati penyokong.
1. Ismaheel Akinade
Masalah gaji tidak memberi kesan terhadap gaya permainan penyerang dari Nigeria, Ismaheel Akinade sepanjang semusim di dua kelab Kelantan pada 2023.
11 gol dan satu bantuan jaringan yang direkodkan dalam 28 penampilan bersama Kelantan FC dan Kelantan United FC menjadi bukti akan derianya di hadapan pintu gol lawan.
Catatan tersebut sudah cukup untuk menyaksikannya disambar sebuah lagi kelab Pantai Timur, Terengganu FC yang enggan melepaskan peluang mendapatkannya.
BACA LAGI: Masalah brek tidak halang Hafizh Syahrin hadiahkan JDT gelaran sulung ARRC
Ismaheel tidak menunggu lama untuk menyesuaikan diri dalam skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Keputusan berkenaan membuahkan hasil apabila penyerang tinggi lampai itu menjaringkan beberapa gol sepanjang kempen pramusim buat pasukan itu.
Malah, kehadirannya boleh dianggap rahmat buat skuad Sang Penyu memandangkan penyerang utama, Ivan Mamut akan disisihkan buat satu tempoh panjang akibat kecederaan.
Ismaheel dijangka terus memikul peranan penting dengan aksi pembukaan Liga Super buat Terengganu FC berdepan Perak FC akan menjadi medan utama buatnya.
2. Takumi Sasaki
Sumber kewangan yang terhad menyaksikan Negeri Sembilan FC perlu mengurangkan kebergantungan terhadap pemain import dengan hanya beberapa wajah baharu dibawa masuk.
Salah seorang yang menjadi pilihan ialah pemain tengah dari Jepun, Takumi Sasaki dengan kehadirannya pernah menjadi bahan bualan ramai.
Kekurangan pengalaman di tahap tertinggi membuatkan rata-rata penyokong berasakan pemain berusia 26 tahun tersebut bukanlah rekrut ideal buat mereka.
Sasaki terus menambat hati penyokong skuad Jang. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Namun, dalam beberapa penampilan buat skuad Jang dalam tempoh pramusim, Sasaki sudah berjaya memadamkan tanggapan buruk terhadapnya.
Dua gol dicetak ketika berdepan Terengganu FC menjadi bukti bahawa pemain tersebut mampu membawa Negeri Sembilan FC ke tahap berbeza berbanding musim lalu.
Tetapi, sekiranya tiada sokongan diberikan terhadapnya di atas padang, import berkenaan masih sukar untuk memberi impak seperti mana diharapkan.
3. Alvin Fortes
Persiapan lebih baik ditonjolkan Selangor FC apabila mereka bakal berentap di pentas Asia musim depan setelah muncul sebagai naib juara Liga Super 2023.
Ia dapat disaksikan apabila kelab Lembah Klang itu berbelanja seawal mungkin untuk memastikan setiap rekrut dapat menyesuaikan diri.
Penyerang sayap, Alvin Fortes merupakan salah seorang yang berjaya berbuat demikian apabila terus menjadi wira buat skuad Gergasi Merah sepanjang kempen pramusim.
Fortes (kiri) beraksi dengan cemerlang sepanjang aksi persahabatan. — Facebook/Selangor FC
Gol kemenangan ketika berdepan Negeri Sembilan FC serta satu jaringan direkodkan di Stadium Perak, Ipoh menjadi petanda bahawa pemain itu bakal bersinar selepas ini.
Malah, pretasi memberangsangkan tersebut turut menyaksikannya semakin dikenali dalam kalangan penyokong yang sudah tidak sabar untuk melihat persembahannya.
Gandingannya dengan tonggak pasukan, Faisal Halim dan pemain import baharu, Ronnie Fernandez pasti akan menjadi tumpuan ketika Selangor FC berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor bagi aksi Piala Sumbangsih. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram