Bukan Safawi atau Akhyar, gandingan 'MnM' dianggap pembelian berbaloi buat Terengganu


  • Podium
  • Khamis, 18 Apr 2024

Marin (berjersi nombor 60) berpengalaman beraksi di Liga Croatia dan Slovenia. — Facebook/TFC

SELAKU tuan rumah Agarbomb Performance Cup, Terengganu FC (TFC) tidak mempunyai masalah untuk mencatatkan kemenangan pertama kejohanan empat penjuru pramusim 2024/2025 itu apabila menewaskan Penang dengan keputusan 1-0 pada Rabu di Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu.

Kemenangan pertama skuad kendalian Tomislav Steinbruckner untuk perlawanan pembukaan aksi pramusim empat penjuru itu diperoleh menerusi jaringan dari penyerang kedua, Ismaheel Akinade pada minit ke-69 perlawanan.

Kunjungan Penang FC disambut dengan menampilkan kesebelasan terbaik Terengganu seperti Suhaimi Husin, Shahrul Nizam, dan Nurillo Tukhtasinov termasuk beberapa pemain baharu iaitu Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Marin Pilj, Ismaheel Akinade serta Manuel Ott.

Manakala, Harimau Kumbang pula yang rata-ratanya hadir dengan pemain muda turut dilengkapi beberapa pemain senior seperti Nik Akif Syahiran, Rafael Victor, Al-Hafiz Harun dan penyerang import dari Brazil, Rodrigo Dias.

Meskipun hanya aksi pramusim, keputusan itu sedikit sebanyak sudah memberi bayangan kesebelasan utama yang akan menjadi taruhan utama Steinbruckner untuk musim baharu ini dengan pemilihan pemain pada perlawanan berkenaan juga mendapat restu penyokong.

BACA LAGI: Tak lama lagi sampai, Marin rupanya pernah beraksi dengan bekas import Sang Penyu

ott marin

Marin (kiri) dan Ott (kanan) ketika perlawanan pramusim menentang Penang FC. — Facebook/TFC

BACA LAGI: Bukan setakat tonggak KDA FC, winger Harimau Muda juga makin hampir ke Sri Pahang

Antara pemain memberi kesan positif dan mendapat perhatian penyokong pada aksi bertemu Harimau Kumbang itu ialah gandingan MnM iaitu Marin Pilj, Nurillo Tukhtasinov dan Manuel Ott yang cemerlang menjaga bahagian tengah pasukan.

Marin yang baru pertama kali beraksi di tanah air, khususnya bersama Terengganu dilihat tidak kekok dan mula serasi dengan corak permainan Steinbruckner sehingga dianggap sebagai pembelian berbaloi oleh penyokong.

"Sedap tengok Marin, Nurillo dan Manuel Ott di tengah, baiki penyudah dan final pass kena kemas selalu. Lawan Kedah kena menang untuk naikkan semangat sebelum liga bermula," kata penyokong Terengganu, Titans Troopers.

"Marin nampak memang pembelian sangat berbaloi sebab laju, rajin dan skil yang baik bila bola berada dikaki. Kehilangan Habib (Habib Haroon) tak akan dirasai dengan gaya permainan Marin yang jauh lebih baik dari Habib sebelum ini.

"Kalau Habib sebelum ini control ball terbaik di midfield tapi Marin lebih pantas dan nampak perlawanan jadi laju bila dia bawa bola. Marin juga nampaknya menjadi target coach Tomislav untuk mengambil free kick seperti peranan Sony (Norde) sebelum ini," kata penyokong skuad Sang Penyu, Nazli Suhardi.

Sebelum ke bumi Darul Iman, Marin mempunyai pengalaman bersama pasukan Osijek, Olimpija Ljubljana serta Varazdin untuk Liga Croatia dan semestinya ia boleh membantu menambah kualiti buat pasukan Terengganu FC bagi musim ini.

Aksi kedua kejohanan pramusim itu akan menyaksikan Terengganu menentang Kedah pada 19 April ini.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram