PERLAWANAN persahabatan pramusim Agarbomb Performance Cup 2024 antara Terengganu FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu itu menyaksikan dua gol tercetak menerusi pemain import Sang Penyu, Ismaheel Akinade dan Akmal Mohd Zahir untuk Sang Kenari.
Bagaimanapun, kelibat Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon yang turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut mencuri tumpuan penyokong tanah air.
Ramai yang beranggapan bahawa kehadiran Pan-gon ke Pantai Timur itu mahu menilai prestasi beberapa pemain yang berpotensi untuk dipanggil ke skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 Jun nanti.
BACA LAGI: Bek import baharu Sabah diduga bakal 'lubuk' JDT, sukar kekang asakan kelab Liga M
Pasukan kebangsaan akan menghadapi satu lagi perlawanan berdepan Chinese Taipei pada Jun nanti.
Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain tempatan yang dijangka mampu memikat hati pengendali kelahiran Korea Selatan itu.
Rizal Ghazali dijangka berpeluang untuk memikat hati Pan-gon. — Facebook/KDAFC
1. Rizal Ghazali
Nama bekas pemain sayap Sabah FC, Rizal Ghazali antara individu yang tidak asing dalam skuad kebangsaan.
Kehadiran Rizal dianggap sebagai aset penting kerana memiliki kelebihan yang cukup dominan di posisi pertahanan serta mampu memberi sumbangan besar buat bahagian serangan.
Selepas menjadi watak penting bersama Sabah FC di pentas Asia sebelum ini, pastinya pengalaman berkenaan boleh membantu Harimau Malaya menjelang aksi berdepan Chinese Taipei nanti.
Pastinya khidmat Rizal sentiasa diperlukan oleh pengendali Korea Selatan itu kerana sebelum ini dia pernah dipanggil untuk menggantikan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Syahmi Safari
BACA LAGI: 'Ada peluang tapi tak cukup tajam', keeper Vietnam sampai 'injured' tepis serangan bertali arus Harimau Muda
Cemerlang bersama Sang Penyu, Shahrul Nizam boleh mengendalikan benteng pertahanan Harimau Malaya. — Facebook/TFC
2. Shahrul Nizam
Pertahanan Sang Penyu, Shahrul Nizam Ros Hasni antara pemain yang dijangka berpeluang untuk memikat hati Pan-gon.
Ia berikutan selepas dia merupakan salah seorang pemain yang tidak pernah mendapat peluang beraksi bersama skuad kebangsaan meskipun berada dalam prestasi terbaik di peringkat kelab.
Selain cekap dalam mengendalikan barisan pertahanan, anak jati Bachok, Kelantan berkenaan juga menampilkan kualitinya apabila berhasil mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya pada minit-minit akhir permainan.
Beraksi bersama Sang Penyu, Nijey mencuri perhatian dalam membantu Terengganu menewaskan naib johan liga utama Australia, Central Coast Mariners bagi aksi pertama Piala AFC 2023.
Dalam pada itu, tidak mustahil sekiranya bek tengah berusia 25 tahun berada dalam senarai Pan-gon berikutan sebelum ini antara pemain yang diletakkan dalam Senarai Bersedia.
Syafiq Ahmad dilihat berpeluang untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya. — Facebook/KDAFC
3. Syafiq Ahmad
Nama Syafiq Ahmad pastinya tidak asing dalam pasukan kebangsaan apabila sebelum ini salah satu penyerang utama negara dengan sudah menjaringkan 10 gol dalam 37 penampilannya sejak 2017.
Prestasi cemerlang bersama skuad kebangsaan sebelum ini pastinya memberi sinar kepada pemain KDA FC itu untuk menyarung jersi Harimau Malaya sekali lagi.
Kualiti penyudah yang tajam serta jaminan gol oleh Syafiq pasti akan membantu Harimau Malaya mempunyai keputusan yang lebih baik aksi berdepan Chinese Taipei nanti.
Malah, kekurangan pilihan untuk posisi penyerang dalam skuad senior itu pastinya akan menjadi sandaran Pan-gon untuk membawa masuk kembali Syafiq ke skuad Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Syafiq mempunyai peluang yang tinggi untuk menjadi satu-satunya penyerang tulen dimiliki oleh Malaysia ketika ini selepas ketika ini hanya mempunyai Darren Lok. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram