Hilang khidmat Ivan Mamut, peluang Safawi Rasid curi hati Tomislav Steinbruckner


  • Podium
  • Rabu, 17 Apr 2024

Safawi (kapten) sudah mula mendapat minit permainan bersama TFC semasa aksi pramusim. — Facebook/Terengganu FC

TERENGGANU FC (TFC) terpaksa akur apabila dua pemain utama, Azam Azmi Murad dan Ivan Mamut terpaksa diketepikan akibat kecederaan serius yang memaksa mereka berehat panjang walaupun musim baharu Liga Super masih belum bermula.

Azam Azmi disyaki mengalami kecederaan lutut yang serius selepas aksi Harimau Malaya dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 26 Mac lalu.

Manakala Ivan Mamut pula mengalami kecederaan 'tendon achilles' pada kaki kirinya semasa menjalani latihan persiapan pramusim yang memerlukannya tempoh rehat antara empat ke enam minggu.

Dengan ketiadaan dua tonggak utama Sang Penyu itu, pastinya pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner 'pening kepala' apabila rancangan persiapan Liga Super sedikit terganggu.

BACA LAGI: Tonggak Rubin Kazan antara ujian besar pertahanan Harimau Muda

Safawi Rasid

Safawi musim ini menyertai Terengganu secara pinjaman daripada JDT. Facebook/Terengganu FC

Perlawanan pramusim TFC akan diteruskan dengan pertandingan empat penjuru iaitu Agarbomb Performance Cup membabitkan Penang FC, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Terengganu II akan menyertai sebagai pasukan jemputan.

Sebelum ini, TFC melakukan jelajah pramusim di sekitar Lembah Klang apabila ditewaskan Selangor FC II selain melakar dua kemenangan ke atas PDRM FC serta Negeri Sembilan FC

TFC akan memulakan perlawanan pertama kejohanan Agarbomb Performance Cup dengan menguji Penang FC pada Rabu.

Dengan ketiadaan Ivan Mamut, pastinya Ismaheel Akinade akan menjadi pilihan Steinbruckner untuk mengisi kekosongan di posisi penyerang.

Ini juga membuka peluang buat anak jati Terengganu, Safawi Rasid untuk mencuba nasib di bahagian serangan Sang Penyu apabila beliau pernah beraksi di posisi tersebut.

BACA LAGI: Kelab milik bekas bintang JDT uji kemampuan Harimau Selatan di Sepanyol

Jika Steinbruckner mempercayai bakat yang ada pada Safawi, ia akan menjadi kelebihan buat skuad TFC musim ini untuk melakukan pertukaran posisi antara pemain jika Mamut masih belum cergas menjelang musim baharu akan datang.

Safawi yang mempunyai kelincahan serta kekuatan kaki kiri mampu membuatkan benteng pihak lawan satu aksi yang sukar untuk menjaga pemain berusia 27 tahun itu.

Bersama Harimau Malaya, Kim Pan-gon pernah meletakkan Safawi di belakang penyerang dan beliau beraksi baik semasa diberikan tanggungjawab itu.

Terengganu akan membuka tirai Agarbomb Performance Cup dengan melayan kunjungan Penang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram