
BAGI rata-rata peminat Football Manager, mereka pasti mengenali penyerang utama, Richairo Zivkovic sebagai antara bintang muda paling bersinar satu ketika dahulu.
Dia yang memulakan kariernya di Belanda bersama FC Groningen pernah berpeluang menyertai kelab gergasi di negara itu, Ajax dengan ia merupakan puncak tertinggi sepanjang tempoh permainannya.
Namun, harapan untuk menyaksikannya menjadi seorang bintang tidak kesampaian apabila pemain berkenaan berdepan isu prestasi tidak menentu.
Kegagalan memenuhi potensi kemudian mendesak pemain antarabangsa Curacao itu berhijrah ke beberapa negara, termasuk China dan Belgium sepanjang kariernya.
Meskipun pernah mencuba nasib di England bersama Sheffield United, perpindahan itu tidak membawa sebarang perbezaan dalam usahanya kembali ke tahap tertinggi.
Lima penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) tanpa sebarang gol atau bantuan jaringan menyaksikannya terpaksa mencari kelab baharu untuk mengembalikan reputasinya.
BACA LAGI: Kelebihan 2-1, Safuwan lebih layak galas tugas kapten Gergasi Merah berbanding Faisal Halim
Zivkovic tidak membawa sebarang impak di EPL bersama Sheffield United. — Agensi
Keputusan tepat akhirnya ditemui penyerang yang kini berusia 27 tahun tersebut apabila dia menemui rentak setelah menyertai pasukan ternama Singapura, Lion City Sailors pada 2023.
Kelincahan dan kebolehannya mengelirukan pihak lawan menyaksikannya diangkat sebagai salah seorang pemain terbaik dalam posisinya meskipun baru semusim beraksi di liga berkenaan.
Prestasi itu turut diteruskan ketika Zivkovic beraksi di Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim lalu apabila dia menggegarkan jaring lawan sebanyak tiga kali dalam enam penampilan.
Jadi, keputusan untuk menyertai Lion City Sailors boleh dianggap satu rahmat buat pemain yang pernah diangkat sebagai 'wonderkid' satu ketika dahulu.
Namun, dalam perkembangan terbaru, terdapat ura-ura mengatakan bintang kelab Singapura itu dikhabarkan bakal tidak akan beraksi di pasukan berkenaan musim depan.
BACA LAGI: Anak buah Tan Cheng Hoe antara 3 kelab boleh uji persiapan Gergasi Merah
Skuad Gergasi Merah pernah dikaitkan dengan Zivkovic satu ketika dahulu. — Facebook/Selangor FC
Perkara itu disampikan seorang pemerhati sukan di negara terbabit, Deepanraj Ganesan yang mengatakan usaha menyambung kontrak masih belum membuahkan hasil.
"Berdasarkan perkembangan terkini, Lion City Sailors sedang mencari seorang penyerang baharu bagi musim akan datang selepas gagal mencapai persetujuan dengan Zivkovic," katanya.
Bagaimanapun, destinasi baharu pemain berkenaan masih belum dikenal pasti dengan terdapat kemungkinan dia akan terus meneruskan karier di rantau Asia Tenggara.
Sebelum ini, Zivkovic pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Selangor FC yang bercita-cita besar untuk mendapatkan bekas pemain Ajax itu.
Bagaimanapun, skuad Gergasi Merah akhirnya memilih untuk mendapatkan Ronnie Fernandez sebagai penyerang musim depan dengan keputusan itu masih boleh dianggap berbaloi melihat kepada kempen pramusim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram