BEKAS penyerang kebangsaan, Rozaimi Abdul Rahman akhirnya kembali semula ke saingan Liga Malaysia (Liga M) dengan menjadi sebahagian pemain skuad Bawah 23 tahun (B-23) bagi membantu skuad simpanan Sang Badak dalam saingan Piala MFL.
Peranan Rozaimi dilantik sebagai ikon ataupun senior berpengalaman dalam skuad Sabah FC B-23 itu pastinya untuk membimbing dan menyalurkan pengalamannya sepanjang bergelar pemain profesional kepada ubi muda The Rhinos.
Tonggak berusia 31 tahun tidak membuang masa membalas kepercayaan pihak pengurusan dengan menghidang persembahan mengagumkan untuk penyokong The Rhinos apabila tampil mencetak hatrik ketika kemunculan pertamanya bersama pasukan simpanan Sabah FC itu.
Pemain dengan jolokan 'Neymar Malaysia' pada suatu ketika dahulu itu menjaringkan tiga gol ketika membantu Sabah B-23 membelasah kelab amatur tempatan, Sulaman FC dengan keputusan 7-4 pada aksi pertama pra-musim mereka baru-baru ini.
Selepas debut dengan hatrik, Rozaimi juga tidak terus berasa selesa apabila dikesan gigih berlatih untuk mengembalikan potensi sebenarnya seperti ketika zaman kemuncaknya sewaktu bermain bersama Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) dahulu.
BACA LAGI: [VIDEO] Dari Ganu ke JDT, Aqil kini menyerlah di Singapura, bantu tewaskan Barcelona
Rozaimi dilihat gigih berlatih untuk kembalikan prestasi terbaiknya. — Facebook/SabahFC
BACA LAGI: Masalah brek tidak halang Hafizh Syahrin hadiahkan JDT gelaran sulung ARRC
Jika Rozaimi berhasil kembalikan skil dan staminanya seperti sebelum ini, penyokong optimis ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee akan memberi peluang kepadanya untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Super bersama skuad senior.
Bukan itu sahaja, tonggak yang mampu beraksi di posisi penyerang tengah dan pemain sayap itu berpotensi untuk mengugat kedudukan tiga bintang Sabah seperti Farhan Roslan, Firdaus Chew dan S. Kumaahran.
"Teruskan berlatih dan kekalkan prestasi Rozaimi. Mungkin bila prestasi semakin mantap bersama Sabah B-23, hati jurulatih Kim Swee terbuka untuk serapkan kembali ke pasukan utama Sabah FC. Rasanya dia boleh lagi lawan kedudukan Farhan, Firdaus Chew dan Kumaahran," kata penyokong Sang Badak, Warga Sandakan.
"Teruskan usaha dengan gigih dan rebut semula tempatmu di kesebelasan utama pasukan Sabah FC," tambah penyokong The Rhinos, Ying Yang yang turut berharap Rozaimi akan beraksi dalam saingan Liga Super.
Selain itu, sekiranya Rozaimi mengekalkan momentum terbaiknya, bekas pasukan seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuching City yang pernah dikhabarkan ingin mendapatkannya khidmatnya akan membuat pusingan U untuk menandatangani Rozaimi.
Untuk rekod, Rozaimi pernah beraksi bersama Kedah pada musim 2020 hingga 2021 namun prestasinya yang kian merudum ketika itu membuatkan Sang Kenari menamatkan kontrak penyerang itu lebih awal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram