Malang berganda, fans Kedah alami 2 kekalahan sehari


  • Podium
  • Ahad, 21 Apr 2024

Skuad Sang Kenari meneruskan kempen pramusim dengan aksi berdepan Penang FC pada Ahad. — Facebook/KDA FC

HARAPAN penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk menyaksikan persembahan terbaik dalam kempen pramusim mereka tidak kesampaian selepas mengalami kekalahan mengejutkan kepada Penang FC.

Kedua-dua pasukan yang mempunyai permusuhan antara satu sama lain atas faktor geografi bertemu dalam aksi Agrabomb Performance Cup di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Ahad.

Kelebihan dilihat berpihak kepada skuad Sang Kenari yang memiliki barisan pemain terbaik di samping berada dalam prestasi cemerlang sepanjang tempoh pramusim.

Bagaimanapun, ia masih belum mencukupi apabila pasukan kendalian Nafuzi Zain tersebut ketinggalan dua gol pada babak pertama permainan hasil jaringan Syameer Kutty Abba dan Rodrigo Dias.

Luka di hati penyokong Hijau Kuning terus dirobek pada babak kedua selepas Rahmat Makasuf muncul sebagai penjaring, sekali gus meletakkan kedudukan 3-0 berpihak kepada Penang FC.

BACA LAGI: Hadir aksi Kedah-Terengganu, Rizal Ghazali antara 3 bintang mungkin dipanggil semula Pan-gon

438255658_467523035628879_5622567318423445777_n

Skuad kendalian Nafuzi Zain mengalami kekalahan mengecewakan kepada Penang FC. Facebook/KDA FC

Kekalahan tersebut menyaksikan KDA FC sukar untuk muncul juara dalam pertandingan tersebut di samping memberi kesan akan motivasi pemain menjelang musim baharu.

Tetapi, kedukaan pengikut setia Sang Kenari tidak terhenti di situ apabila skuad muda mereka mengalami kekalahan dalam aksi pembukaan Piala Presiden 2024.

KDA FC C yang dijadualkan bertemu Kelantan Darul Naim (KDN) Bawah 20 Tahun (B-20) mempunyai kesungguhan tersendiri selepas persiapan rapi dibuat beberapa bulan lalu.

Tetapi, dalam aksi yang berlangsung di Stadium Mini Daerah Machang, Kelantan, gol kemenangan tuan rumah dijaringkan Mohd Aliff Farhan pada minit ke-57.

BACA LAGI: 'Elak kalah lawan Kedah', misi balas dendam Sony Norde dan Habib Haroon

437968308_957161853081660_4452243827256547957_n

Skuad muda Sang Kenari gagal memulakan kempen dengan langkah kanan.Facebook/KDA FC C

Jaringan tunggal itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan yang menyaksikan skuad kendalian Rosle Md Derus memulakan kempen kali ini dengan langkah kiri.

Kekalahan kedua-dua pasukan itu pasti diharapkan mampu menjadi pengajaran dalam misi KDA FC kembali menjadi pasukan lebih baik musim depan.

Skuad utama Sang Kenari bakal memulakan aksi Liga Super 2024/25 pada 11 Mei dalam perlawanan menentang PDRM FC di Stadium Selayang, Selangor.

Bagi KDA FC C pula, saingan Piala Presiden akan diteruskan dengan aksi berdepan Penang FC III di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada Jumaat akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram