BEK tengah skuad kebangsaan Bawah 23 tahun (B-23), Harith Haiqal Adam Afkar tidak dapat menahan diri daripada air mata penyesalan selepas gagal membantu Malaysia ke pusingan seterusnya dalam aksi Piala Asia B-23 di Doha, Qatar pada Sabtu.
Memetik laporan dari Stadium Astro, pertahanan Selangor FC itu mengakui kecewa selepas dan terpaksa akur apabila Harimau Muda tewas kepada pasukan Vietnam 0-2 walaupun sudah cuba sedaya upaya untuk meraih keputusan yang positif.
Pemain berusia 22 tahun berkenaan seolah-olah mengambil tanggungjawab dengan memohon seribu kemaafan kepada semua rakyat Malaysia dan mengakui bahawa mereka tidak cukup bagus dalam kejohanan berkenaan.
"Saya berani katakan dan memberikan jaminan bahawa kami merupakan pasukan yang lebih bagus daripada mereka semua. Tetapi jika kami bagus tidak menoktahkan peluang dengan jaringan berbanding mereka yang hanya ada satu peluang maka kita tetap akan kalah.
"Saya tahu semua di Malaysia sedang kecewa termasuk keluarga saya tetapi inilah bola sepak saya mewakili semua pemain memohon maaf, kami sudah melakukan yang terbaik tetapi kami sedar kami tidak cukup bagus," katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
'Situasi sebelum interview'
Kekecewaan jelas terpancar pada reaksi tonggak pertahanan, Harith Haiqal.
Kempen kali ini merupakan edisi terakhir buat Harith bersama skuad muda negara.@ASTROARENA pic.twitter.com/NatFyQ9Un7
— Fadhirul Shuhaimi (@FadhirulS) April 20, 2024
Dalam pada itu, penyerang muda tanah air negara, Luqman Hakim Shamsudin gembira dengan prestasi semua pemain di atas padang kerana sudah berusaha sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik.
"Banyak peluang yang kita lepaskan. Tetapi saya lihat apa yang telah pasukan lakukan saya gembira kerana semua pemain memberikan persembahan terbaik mereka dengan mentaliti kemenangan dan tidak mahu mengalah.
"Saya bangga dengan semua pemain tetapi rezeki tidak menyebelahi kami semua," tambahnya.
Perlawanan Kumpulan D di Stadium Antarabangsa Khalifa, Qatar pada Sabtu menyaksikan Harimau Muda tewas menerusi sepakan percuma yang menyaksikan Khuat Van Khang berjaya menjaringkan gol menerusi set piece mudah pada minit ke-39 perlawanan.
Gol kedua Vietnam hadir apabila Pemain muda Malaysia terus membuat kesilapan memakan diri apabila pertahanan Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul yang didakwa menjatuhkan Bui Vi Hao pada minit ke-58 membuatkan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Vietnam.
Peluang keemasan itu diguna sehabis baik oleh pemain gantian Vietnam, Vo Hoang Minh Khoa dengan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-60 sekali gus layak ke pusingan suku akhir Piala Asia B-23 2024.
Selepas ini, Malaysia akan melengkapkan kempen Piala Asia B-23 2024 menentang Kuwait di Stadium Al-Janoub sementara Uzbekistan akan berdepan Vietnam di Stadium Antarabangsa Khalifa pada Selasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram