PERSEMBAHAN kurang memberangsangkan daripada skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan menyaksikan mereka tewas 0-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan D Piala Asia B-23 pada Rabu.
Mereka yang berdepan pasukan Asia Tengah tersebut ketinggalan pada minit ke-11 selepas Jasurbek Jaloliddinov menyempurnakan penalti dihadiahkan Syahir Bashah.
Gerakan kurang meyakinkan serta kegagalan memanfaatkan setiap peluang terhidang menyaksikan Harimau Muda berada di belakang selepas wisel babak pertama ditiupkan.
Nasib malang terus menimpa skuad kendalian Juan Torres Garrido apabila Uzbekistan menggandakan kelebihan menerusi Ulugbek Khoshimov pada minit ke-83.
Jaringan itu turut terhasil berpunca daripada kesilapan pemain gantian, Muhammad Abu Khalil yang gagal menyedari ancaman lawan sehingga menyaksikan bola mudah dicuri.
BACA LAGI: Rumput hibrid TMJ dapat bantu Harimau Malaya ke Piala Asia — FAM
Jasurbek (kanan) menjaringkan gol pertama Uzbekistan menerusi sepakan penalti. — Facebook/FAM
Kekalahan berkenaan pasti sukar diterima rata-rata penyokong bola sepak tanah air yang kurang berpuas hati dengan persembahan Harimau Muda selain kecuaian masing-masing.
Isu tersebut diakui legenda Harimau Malaya, Reduan Abdullah yang beranggapan persembahan skuad B-23 kebangsaan merupakan punca utama kekalahan.
"Pada pandangan saya, kita tidak mempunyai pelbagai variasi permainan. Jika kita lihat, pemain akan cuba menghantar bola ke bahagian serangan selepas dua atau tiga hantaran.
"Apa kita dapati Uzbekistan lebih banyak mengawal permainan, tetapi tidak bermakna mereka bagus. Pada pandangan saya, apa yang membuatkan Uzbekistan bagus adalah kerana kita tidak bermain dengan baik," katanya kepada Majoriti.
Keputusan tidak memberangsangkan yang dialami itu menyaksikan Harimau Muda kini berada di tangga tercorot dengan Vietnam mengungguli Kumpulan D.
BACA LAGI: Kesilapan 2 bintang muda Selangor bawa padah buat Harimau Muda
Reduan beranggapan permainan Harimau Muda kurang bervariasi ketika berdepan Uzbekistan.
Peluang bagi skuad kendalian Garrido untuk mara bagaimanapun masih boleh dihidupkan sekiranya mampu meraih tiga mata dalam aksi kedua menentang gergasi Asia Tenggara itu pada Sabtu ini.
Tambah Reduan lagi, corak permainan pasukan perlu ditambah baik dengan kesemua bahagian di atas padang perlu membuat perubahan untuk meraih keputusan lebih baik dalam perlawanan akan datang.
"Kalau kita lihat dua gol yang dibolosi, ia hanya kesilapan sendiri dan pemain kebangsaan tidak cukup tenang dengan mereka gelabah, lebih-lebih lagi ketika jaringan kedua Uzbekistan terhasil.
"Saya rasa perubahan akan dilakukan jurulatih dengan cuba membawa gaya permainan bervariasi dengan contoh jika tidak boleh membuat hantaran jauh, kita perlu cuba buat hantaran pendek untuk ke bahagian serangan," katanya.
Reduan sebelum ini pernah terlibat dalam skuad kebangsaan ketika bergelar pembantu jurulatih kepada Datuk Dollah Salleh di Harimau Malaya pada 2014.
Selain itu, namanya turut disanjung selepas pernah membawa beberapa kelab Liga Super, termasuk MPPJ FC dan UiTM FC sepanjang karier kejurulatihannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram