SKUAD Harimau Muda memilih jalan sukar untuk mara ke suku akhir Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) selepas tewas kepada Uzbekistan dalam aksi pembukaan Kumpulan D di Stadium Antarabangsa Khalifa, Qatar pada Rabu.
Dalam babak pertama, Harimau Muda terpaksa menelan pahit apabila kesilapan Syahir Bashah lewat melakukan clearance menghadiahkan sepakan penalti kepada Uzbekistan.
Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, Jasurbek Jaloliddinov mudah menewaskan penjaga gol muda negara, Azim Al-Amin pada minit ke-11 untuk meletakkan mereka di hadapan.
Serangan demi serangan daripada skuad kendalian Juan Torres Garrido tidak membuahkan hasil dengan Luqman Hakim Shamsuddin dan Haqimi Azim beberapa kali dikecewakan.
Namun, nasib malang sekali lagi menimpa Harimau Muda apabila kesilapan sekali lagi menghukum mereka pada minit ke-83.
BACA LAGI: FAM belanja RM2 juta sambung legasi Harimau Malaya, pastikan tiada insiden samseng di liga bawahan
Syahir menghadiahkan penalti buat lawan pada babak pertama. — Facebook/FAM
BACA LAGI: Rumput hibrid TMJ dapat bantu Harimau Malaya ke Piala Asia — FAM
Kealpaan pemain gantian, Muhammad Abu Khalil yang tidak menyedari tekanan daripada pihak lawan menyaksikan Uzbekistan mudah mencuri bola sebelum melancarkan serangan balas pantas.
Peluang itu mudah diambil apabila Ulugbek Khoshim meletakkan mereka dua gol di hadapan untuk sekali gus menutup peluang skuad muda kebangsaan.
Meskipun terdapat percubaan daripada Muhammad untuk menutup ruang, kelewatan pemain Selangor B-23 itu dan rakan sepasukannya membawa padah dengan ia mematahkan semangat masing-masing.
Kesilapan kedua-dua pemain itu sekali gus mencetuskan rasa kurang senang dengan rata-rata penyokong bola sepak negara kurang berpuas hati dengan persembahan Harimau Muda.
"Sayang, banyak peluang tetapi tidak diambil. Lebih sedih apabila kekalahan itu berpunca daripada kesilapan sendiri," kata Arman Ismail.
"Apalah difikir sampai boleh beri dua gol mudah untuk Uzbekistan. Harapnya tidaklah berulang untuk perlawanan selepas ini," kata Rais Hisham.
Kekalahan pada aksi pembukaan itu menyaksikan Harimau Muda berada di kedudukan tercorot Kumpulan D dengan satu perlawanan antara Kuwait dan Vietnam hanya akan berlangsung pada lewat malam Rabu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram