'One to watch', 3 import kelab 'underdog' termasuk Penang dan Kelantan yang boleh gegar Liga Super


  • Podium
  • Khamis, 18 Apr 2024

Muzungu (kiri) menjadi pemain termahal yang dimiliki KDN FC musim depan. — Agensi

KEMERIAHAN Liga Malaysia (Liga M) semakin mendapat sambutan ramai apabila kurang daripada sebulan selepas perlawanan pembukaan di antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC akan berlangsung pada bulan depan.

Selain daripada itu, kemasukan import baharu turut menghiasi kehangatan Liga Super dengan rata-rata kelab mengambil pendekatan untuk tidak memenuhi kuota pemain asing bagi menjimatkan perbelanjaan musim ini.

Namun begitu, ia tidak menghalang kelab-kelab Liga Super membawa masuk pemain import baharu yang mempunyai rekod baik bersama pasukan terdahulu.

Walaupun dilabel sebagai pasukan 'underdog', kelab seperti Kelantan Darul Naim (KDN), Penang FC dan Negeri Sembilan FC (NSFC) mampu menarik minat import besar menyertai kelab mereka.

Majoriti senaraikan tiga pemain import yang wajar menjadi tumpuan seluruh penyokong meskipun mereka menyertai kelab 'underdog':

BACA LAGI: FAM belanja RM2 juta sambung legasi Harimau Malaya, pastikan tiada insiden samseng di liga bawahan

1. Chadrack Muzungu (Kelantan Darul Naim)

Chadrack Muzungu menjadi pemain termahal yang dimiliki KDN FC apabila nilainya mencecah jutaan ringgit selepas mempunyai rekod yang menarik sepanjang bergelar pemain bola sepak.

Bekas pemain nasional DR Congo itu mempunyai pengalaman beraksi di Eropah dengan mewakili UD Almeria (Sepanyol) dan US Boulogne (Perancis) sebelum menjejakkan kaki ke bumi Harimau Malaya.

Musim lalu, Muzungu tampil dalam 24 perlawanan bersama Renaissance de Berkane di Liga Maghribi dengan menjaringkan empat gol dan dua 'assist'.

Selain mempunyai larian yang lincah, pemain berusia 27 tahun itu juga memilik kaki kanan yang deras apabila sering melakukan rembatan menggunakan kekuatannya itu.

Muzungu wajar menjadi pemain import tumpuan pada musim depan kerana dia pastinya akan diburu kelab gergasi Liga M jika beraksi cemerlang pada pusingan pertama Liga Super.

2. Takumi Sasaki (Negeri Sembilan)

Walaupun menyertai NSFC daripada pasukan J3 League (divisyen ketiga Jepun) ia tidak menghalang, Takumi Sasaki daripada mencuri tumpuan semasa tempoh pra-musim bersama skuad The Jangs.

Ini selepas pemain berusia 26 tahun itu telah mencatatkan beberapa jaringan semasa pra-musim dan ada di antara gol itu berjaya memukau mata penyokong The Jangs.

Meskipun berusia 26 tahun, Sasaki telah melakukan 155 penampilan dalam setiap hierarki Liga Jepun dengan mewakili lima kelab di negara Matahari Terbit itu.

Musim terbaik Sasaki ialah bersama Kamatamare Sanuki pada 2018 di J2 League (divisyen kedua) apabila merekodkan empat jaringan dan 10 'assist'.

BACA LAGI: 'Kami tiada headhunter macam skuad lelaki', FAM dan Malayan Tigress buru pemain warisan wanita

3. Rodrigo Dias (Penang)

Susuk penyerang kelahiran Brazil, Rodrigo Dias akan menjadi perhatian seluruh penyokong Harimau Kumbang bagi menggantikan bekas import, Casagrande selepas dia cemerlang ketika mewakili Penang FC.

Pemain yang pernah beraksi di bekas kelab Nazmi Faiz, Beira-Mar (Portugal) merekodkan 23 gol dan 12 'assist' sepanjang beraksi di Liga Vietnam.

Ini kerana Dias mewakili tiga kelab berbeza sepanjang khidmatnya di Vietnam dengan menyertai Quang Nam FC, Thep Xanh Nam Dinh FC dan SHB Da Nang FC.

Ketinggian 1.90 meter (m) bakal menjadi aset utama skuad Harimau Kumbang untuk memenangi bola perebutan di udara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram