[VIDEO] Selangor lebih gempak, pernah terpilih uji gergasi Sepanyol di Shah Alam


  • Podium
  • Khamis, 18 Apr 2024

Perlawanan persahabatan itu menyaksikan Sevilla meraih kemenangan 2-0 ke atas skuad Gergasi Merah. — Agensi

PERSIAPAN rapi pramusim Johor Darul Ta'zim (JDT) diteruskan dengan kem latihan berpusat di Sepanyol bersama beberapa siri aksi persahabatan.

Perancangan demikian pasti sesuai dengan cita-cita besar diletakkan skuad Harimau Selatan yang mahu beraksi cemerlang di pentas Asia musim depan.

Bagaimanapun, langkah itu dipersoalkan segelintir penyokong, termasuk pengikut setia JDT kerana kelab dipilih untuk perlawanan persahabatan boleh dianggap tidak mencapai standard mereka.

Dalam jadual dikeluarkan, lawan dihadapi JDT adalah beberapa kelab divisyen bawahan di negara itu, seperti Real Murcia dan CD Alcoyano.

Situasi berkenaan menyaksikan kelab Selatan tanah air tersebut menjadi topik perbuatan hangat kerana orang ramai meletakkan harapan tinggi dalam persiapan pramusim pasukan.

BACA LAGI: Anak buah Tan Cheng Hoe antara 3 kelab boleh uji persiapan Gergasi Merah

435891090_999393038223339_3446051360593768732_n

Skuad Harimau Selatan kini mengadakan aksi pramusim di Sepanyol. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Malah, ada yang mula membandingkan JDT dengan seteru utama mereka, Selangor FC yang pernah mengadakan aksi persahabatan berdepan kelab Sepanyol beberapa tahun lalu.

Pada tempoh pramusim 2014, jaguh La Liga, Sevilla mengadakan siri jelajah Asia di bawah program LFP World Challenge dengan skuad Gergasi Merah antara lawan yang terpilih.

Aksi yang diadakan di Stadium Shah Alam, Selangor pada Mei tahun itu menyaksikan ribuan penyokong turun untuk melihat persembahan kedua-dua pasukan.

Manakan tidak, Sevilla yang ketika itu dikendalikan Unai Emery menurunkan lambakan pemain terbaik, termasuk mendiang Jose Antonio Reyes dan Ivan Rakitic.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga merupakan juara bertahan Liga Europa UEFA (UEL), sekali gus mengangkat nama mereka sebagai antara kelab terbaik di Eropah.

BACA LAGI: Pernah dipilih jadi rakan sparring kelab gergasi Sepanyol, Selangor uji kekuatan dengan JDT

Bagaimanapun, kelab Lembah Klang itu turut tampil dengan kesebelasan utama yang membanggakan dengan barisan serangan diketuai Paulo Rangel dan dibantu Andik Vermansyah.

Meskipun mengalami kekalahan 0-2 hasil jaringan Diogo Figueiras dan Piotr Trochowski, Selangor FC masih boleh berbangga apabila reputasi mereka dipandang tinggi.

Sevilla kemudiannya meraih kejayaan membanggakan pada penghujung musim 2014/15 apabila sekali lagi menjuarai UEL meskipun bergelut di peringkat domestik.

Bagi skuad Gergasi Merah pula, perlawan itu jelas memberikan suntikan motivasi buat pemain dan pihak kejurulatihan kerana membantu mereka muncul naib juara Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram