'Triple F' terima pujian melambung lepas Kedah mula langkah kanan sesi pramusim


  • Podium
  • Khamis, 18 Apr 2024

Keputusan positif tersebut pasti akan menyuntik semangat buat skuad Sang Kenari menjelang musim baharu. — Facebook/KDA FC

SATU keputusan positif dicatatkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi pembukaan Kejohanan Empat Penjuru yang diadakan dalam tempoh pramusim kali ini.

Mereka yang berdepan Terengganu FC II dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah, Terengganu pada Rabu mudah meraih kemenangan 1-0.

Gol tunggal daripada Fayadh Zulkifli Amin serta kecekapan benteng pertahanan merupakan kunci utama di sebalik kejayaan dimiliki skuad Sang Kenari.

Keputusan itu sudah tentu menyuntik semangat buat pengendali, Nafuzi Zain dan penyokong Hijau Kuning meskipun ia hanya satu aksi persahabatan.

Perasaan tersebut dikongsikan di media sosial apabila laman media sosial rasmi KDA FC dibanjiri komen positif daripada mereka yang berpuas hati dengan persembahan Sang Kenari.

Antara nama yang mencuri tumpuan dalam luahan kegembiraan itu ialah penjaring, Fayadh serta Faiz Nasir serta penjaga gol, Fikri Che Soh ke atas kecemerlangan masing-masing.

BACA LAGI: Bukan setakat tonggak KDA FC, winger Harimau Muda juga makin hampir ke Sri Pahang

437904565_465326399181876_6208239529288671853_n

Faiz Nasir merupakan antara pemain paling cemerlang dalam aksi persahabatan tersebut.Facebook/KDA FC

"Daripada perlawanan menentang Terengganu FC II, saya rasa perlu untuk kekalkan Faiz berpasangan dengan Fayadh seperti pada babak pertama kerana gandingan mereka menjadi," kata Hermizainal Abd Hamid.

"Terengganu FC II ni bagus dan pantas gaya pemain kerana semua masih muda. Yang KDA FC pula, perlulah main lebih baik selepas ini, mujur Fikri beberapa kali buat tepisan," kata Abu Luqman.

"Fikri Che Soh boleh tahan permainannya, pencabar untuk Kalamullah (Al-Hafiz) dan Ifwat (Akmal)," komen Muhd Amienz.

Musim lalu, Fayadh lebih kerap diletakkan di bangku simpanan yang menyaksikan pulangan di hadapan pintu gol terus merudum berbanding tahun-tahun sebelum ini.

BACA LAGI: Pangku tugas CEO KDA FC, peluang orang lama Kedah buktikan kemampuan

437909241_465326155848567_7194183146688135729_n

Nafuzi (kanan) pasti berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya. Facebook/KDA FC

Bagaimanapun, pemergian tonggak serangan KDA FC, Manuel Hidalgo dijangka memberikan peluang buat pemain berusia 26 tahun itu untuk bersinar.

Situasi tersebut turut dihadapi Fikri yang tidak mencatatkan sebarang penampilan dalam Liga Super 2023 dengan posisi itu lebih kerap diisi Kalamullah.

Meskipun beraksi cemerlang dalam beberapa aksi persahabatan, terdapat kemungkinan dia akan berdepan kesukaran merebut tempat dalam skuad Nafuzi.

Bagi Faiz Nasir pula, pengalamannya bersama pengendali tersebut ketika berada di Terengganu FC menyaksikan dia dibawa ke KDA FC secara pinjaman.

Kecederaan dikhuatiri akan menjadi isu untuknya berada dalam kesebelasan utama lebih kerap dengan masalah itu turut dihadapi selama beberapa tahun beraksi di skuad Sang Penyu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram