PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) berkenan mengurniakan rumput jenis hibrid kepada Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur yang merupakan gelanggang keramat buat Harimau Malaya.
Dalam hantaran yang dimuat naik oleh Johor Darul Ta'zim (JDT), rumput Zeon Zoysia yang digunakan SNBJ akan dipasang di padang Majlis Sukan Negara, KL Sport City yang sering digunakan oleh pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sebelum ini.
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd. Firdaus Mohamed berkata, pihaknya teruja dan berharap teknologi baharu (padang hibrid) dapat melonjak prestasi Harimau Malaya menjelang perlawanan hidup mati skuad kebangsaan menentang Republik Kyrgyzstan dan Chinese Taipei pada Jun nanti.
BACA LAGI: 'Kami tiada headhunter macam skuad lelaki', FAM dan Malayan Tigress buru pemain warisan wanita
Mohd. Firdaus Mohamed. — Facebook/FAM
"Pada saya, perlawanan itu (menentang Taiwan dan Republik Kyrgyzstan) sangat mustahak, dan mungkin teknologi baharu yang diperkenalkan seperti dihadiahkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) mungkin dapat membantu.
"Kita akan pantau kedudukan padang itu (hibrid) sebab saya difahamkan akan ada konsert yang bakal diadakan di SNBJ.
"Ia memberi kita satu tekanan sama ada nak guna atau tidak stadium SNBJ itu, tapi akhirnya FAM akan buat 'site visit' dan tidak akan berkompromi (dengan keadaan padang).
"Jika padang itu boleh digunakan, kita akan gunakan," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Bola Rasmi Piala Presiden, Piala Belia, Liga Wanita Nasional (LWN) dan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) di Wisma FAM, Petaling Jaya pada Selasa.
BACA LAGI: Hilang khidmat Ivan Mamut, peluang Safawi Rasid curi hati Tomislav Steinbruckner
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memeriksa permukaan padang hibrid di Stadium Larkin pada Selasa. — Facebook/JST
Namun jika padang itu tidak berada dalam keadaan yang baik, Mohd. Firdaus yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM berkata, pihaknya sudah mempunyai pelan sandaran sebagai venue Harimau Malaya menjelang Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu.
"Keutamaan kita adalah pemain, FAM tak nak pemain cedera kerana mereka adalah profesional dan itu adalah periuk nasi mereka, kalau bermain dalam keadaan tidak selasa kita rasa bersalah juga.
"Kita mesti mengambil tanggungjawab itu, kami ada dua pilihan yang mana kita boleh gunakan Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor atau Stadium Sultan Mizan di Terengganu. Itu dua opsyen yang saya nampak sebab sebelum ini kita pernah guna dua stadium itu," katanya.
Sementara itu, Firdaus mengucapkan terima kasih kepada Tunku Ismail yang berkenan menghadiahkan rumput hibrid bagi digunakan di SNBJ.
"FAM berlapang dada kalau dapat rumput hari ini kami hanya mahukan pemain beraksi dalam keadaan yang selesa dan kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada TMJ," jelasnya.
Skuad Harimau Malaya akan terbang ke Republik Kyrgyzstan pada 6 Jun sebelum melayani kunjungan Chinese Taipei lima hari selepas perlawanan itu yang akan berlangsung di SNBJ. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram