Kedah tunai janji demi slot Liga Super, Tan Sri Daud jadi watak utama


  • Podium
  • Khamis, 18 Apr 2024

Khabar baik mengenai isu gaji itu membuatkan Kedah boleh menyambut 100 tahun legasi bola sepak Kedah pada tahun ini dengan gilang-gemilang. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC akhirnya boleh menjalankan persiapan aksi pramusim dengan tenang apabil mengesahkan sudah menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji bagi musim 2023 untuk semua pemain dari peringkat akar umbi sehingga ke pasukan Liga Super.

Perkembangan itu sekali gus bakal mengesahkan slot Kedah untuk beraksi dalam Liga Super, yang sebelum ini dikatakan akan tersungkur ke saingan Liga M3 sekiranya tidak menyelesaikan masalah berkenaan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim KDA FC, Shahrul Samsudin berkongsi bahawa gaji bagi musim 2023 untuk semua Pemain dan Pegawai Pasukan Liga Super, KDA FC B (Piala MFL - Bawah 23 Tahun), KDA FC C (Piala Presiden - Bawah 20 Tahun), KDA FC D (Piala Belia - Bawah 18 Tahun) serta staf pentadbiran kelab sudah selesai pada 17 April 2024.

"Alhamdulillah, pihak pengurusan kelab telah berjaya mengatasi masalah tunggakan yang membelenggu kelab sejak dari hujung tahun lepas dengan daya usaha semua terutamanya usaha tanpa henti Pemilik Majoriti KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar yang tidak putus-putus mencipta ruang dan peluang serta mencari penyelesaian terbaik untuk keluar dari belenggu masalah yang dihadapi kelab.

"Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar serta Ahli Lembaga Pengarah yang turut bersama-sama membantu dan tidak lupa juga kepada semua penyokong setia dan peminat Sang Kenari yang mengambil peluang disediakan untuk menyumbang sedikit sebanyak kepada usaha yang dilancarkan sebelum ini.

"Dengan selesainya isu tunggakan gaji tahun kewangan 2023 sebelum tarikh akhir yang diputuskan oleh Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) iaitu 20 April 2024 ini, bermakna KDA FC telah memenuhi syarat seterusnya mengekalkan lesen kebangsaan bagi bertanding dalam Liga Malaysia musim ini," katanya pada Khamis.

BACA LAGI: FAM belanja RM2 juta sambung legasi Harimau Malaya, pastikan tiada insiden samseng di liga bawahan

BACA LAGI: Ismaheel ikut langkah 3 import Liga M pelajari budaya tanah air

Dengan perkembangan positif dari pengurusan KDA FC itu, kelab Utara tanah air berkenaan secara tidak langsung akan memulakan musim dengan aksi pertama dari KDA FC C bagi saingan Piala Presiden pada 21 April ini diikuti KDA FC D pada 4 Mei dalam saingan Piala Belia.

Manakala pasukan Liga Super akan beraksi pada 11 Mei ini menentang PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor. KDA FC B yang merupakan pasukan Bawah-23 (B-23) tahun akan beraksi dalam kejohanan Piala MFL bermula 21 Mei ini.

Shahrul juga berharap agar skuad Hijau Kuning akan terus mendapat sumbangan dan sokongan daripada penaja dan penyokong untuk membantu Kedah meneruskan kelangsungan legasi bola sepak yang sudah menjangkau usia 100 tahun pada 2024 ini.

"KDA FC amat berharap kepada sokongan dan sumbangan berterusan dari semua pemegang taruh industri bola sepak iaitu pihak penaja dan penyokong. Kami menyeru semua pihak diluar sana, pihak korporat, usahawan tempatan untuk bersama-sama memberikan sokongan, dorongan, galakan dan sumbangan untuk membantu pembangunan bola sepak di peringkat negeri mahupun antarabangsa.

"Di peringkat kelab, kami amat berharap, semua pihak berkepentingan terutamanya penyokong setia Sang Kenari dapat membantu secara langsung atau tidak langsung dalam menyumbang kepada kelab bermula dengan pembelian Kit Pra-Musim 2024/25, pas bermusim serta produk rasmi kelab yang akan dibuka jualan pada hari ini.

Untuk pengetahuan, pas Bermusim Sang Kenari bagi musim 2024/2025 akan ditawarkan dengan harga lebih kompetitif dari harga keseluruhan tiket perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah.

Harga ditawarkan adalah RM150 Zon Terbuka, RM250 Zon Pavilion dan RM380 Zon Grandstand melibatkan 12 perlawanan Liga Super sahaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram