Ketandusan pelapis terjun makin kronik, kontinjen negeri tolak kaedah 'pinjam' atlet punca acara Sukma digugur


  • Podium
  • Ahad, 07 Apr 2024

Acara terjun 10m platform wanita digugurkan pada Sukma 2024 berikutan kurang penyertaan. — Gambar hiasan / Agensi

SUKAN Malaysia (Sukma) ke-21 yang akan berlangsung di Sarawak, Ogos ini menyaksikan dua acara iaitu futsal wanita dan terjun 10 meter (m) platform wanita digugurkan atas faktor kekurangan jumlah penyertaan.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Sabtu sewaktu ditemui wartawan pada Program Juh Berambeh Sungkei di Padang Merdeka, Kuching, Sarawak.

Pengumuman Abdul Karim itu agak menyedihkan kerana ia 'membongkar' masalah ketandusan pelapis dalam sukan tersebut di negara ini.

Masalah kekurangan atlet sukan terjun sebagai contoh bukanlah perkara baharu di peringkat Sukma, malah Persekutuan Renang Malaysia (MAS) terpaksa menjadi 'orang tengah' untuk menyelesaikan isu kekurangan penyertaan menerusi kaedah 'pinjaman' atlet.

Sisi kurang enak sukan akuatik khususnya acara terjun dalam temasya tahunan berkenaan turut diakui Pengarah Teknikal MAS, Bryan Nickson Lomas.

Bahkan, menurutnya, pengguguran acara 10m platform juga sudah dibayangkan akan berlaku.

BACA LAGI: Kalau semua berhenti kerja sebab surat layang, susahlah — Hannah Yeoh

Tourism, Arts and Culture Minister Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah announcing the digital tourism forum in Kuching.  - ZULAZHAR SHEBLEE / THE STAR

Abdul Karim berkongsi dua acara iaitu futsal wanita dan terjun 10m platform wanita digugurkan dari Sukma ke-21.

Menurut Bryan Nickson, pihaknya bagaikan 'orang tengah' untuk melaksanakan kaedah pinjaman dan ia terpaksa dilakukan bagi meneruskan acara terjun yang tidak mendapat sambutan hangat kerana masalah ketiadaan pelapis di beberapa kontinjen negeri.

Sebagai rekod, kaedah 'pinjam' atlet pada Sukma menjadi amalan dalam acara terjun dan punca utamanya kerana ketandusan pelapis dari beberapa negeri kerana kurang tumpuan diberikan kepada sukan berkenaan.

"Kaedah pinjaman ini akan dilaksanakan jika mendapat persetujuan negeri terlibat. Jika pengarah (Majlis Sukan Negeri) setuju, maka berlakulah pinjaman itu. Bagaimanapun ada yang berminat, ada yang kurang setuju. Selalunya jurulatih tidak suka kaedah pinjam-meminjam ini.

"Semasa proses rundingan, semua perlu setuju banyak perkara. Saya dan Khairul (Khairul Safwan Mansur merangkap Pengarah Prestasi Tinggi) hanya cadangkan. Bagaimanapun, ada yang tidak terima saranan itu kerana ia melibatkan bajet dan belum tentu atlet yang dipinjamkan itu mampu memberi pulangan pingat untuk negeri berkenaan.

"Walaupun ia jarang berlaku tetapi ia perlu untuk pembangunan sukan dan mungkin juga kaedah ini boleh diteruskan," katanya kepada Majoriti ketika ditemui di Pusat Akuatik Kebangsaan, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

BACA LAGI: Safawi belum capai standard — Tomi

WhatsApp Image 2024-04-07 at 08.43.02

Bryan berkongsi kaedah pinjam pemain pernah digunakan untuk meneruskan acara terjun yang kurang mendapat penyertaan di Sukma.

Tambahnya, kontinjen seperti Sarawak yang banyak melahirkan pelapis kem terjun selalunya akan bermurah hati untuk meminjamkan atlet kepada pasukan negeri lain.

Bryan berkongsi kaedah pinjam pemain pernah digunakan untuk meneruskan acara terjun yang kurang mendapat penyertaan di Sukma sebelum ini.

Kaedah pinjam atlet itu bagaimanapun nampaknya tidak diguna pakai dalam temasya Sukma ke-21 tahun ini berikutan tiada persetujuan dicapai sesama negeri mungkin atas alasan tidak menjanjikan pingat.

"Kali ini memang ada negeri tak nak daftar kerana tiada atlet. Bila ada satu negeri tak daftar, maka secara automatik tak cukup enam penyertaan. Jadi kena batalkan.

"Bagaimanapun ada jurulatih beritahu yang mereka nak daftarkan altet tapi pengarah majlis sukan negeri pula tak setuju kerana kurang yakin dapat memenangi pingat.

"Yang pasti, hanya pengarah sukan negeri dan jurulatih tahu apa sebenarnya berlaku," kongsi Bryan.

BACA LAGI: [VIDEO] Cubaan Gakpo lakukan 'diving' gagal perdaya pemain Manchester United

Difahamkan, Pahang dan Pulau Pinang antara dua negeri terlibat menyebabkan acara 10m platform wanita dalam temasya Sukma Sarawak pada Ogos depan terpaksa digugurkan.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai punca kaedah alternatif tersebut berlaku, bekas penerjun profesional kelahiran Kuching, Sarawak itu berpendapat, kriteria dalam dasar di peringkat kebangsaan dianggap terlalu tinggi.

"Di Sukan SEA, penyertaan dua negara sudah cukup untuk sesuatu acara dipertandingkan, manakala Sukan Asia pula empat negara. Bagaimanapun syarat Sukma adalah enam negeri sekali gus menunjukkan perbezaan ketara antara kejohanan domestik dan global.

"Jika fikirkan pembangunan sukan, jumlah itu perlu dikurangkan," katanya yang berkunjung ke beberapa negeri untuk memastikan semua acara dapat dipertandingkan di Sukma.

isi

Pandelela (kanan) meraih pingat gangsa acara terjun platform 10m wanita dalam Sukan Olimpik London 2012 selepas tewas di tangan Brittany Broben (kiri) dari Australia yang memungut perak dan pemenang pingat emas, Chen Ruolin dari China. — Agensi

Katanya, adalah sesuatu yang menyedihkan apabila sukan terjun pernah mendapat pingat Olimpik tetapi acara berkenaan tidak dipertandingan di temasya Sukma.

Untuk rekod, Malaysia pernah memenangi pingat gangsa pada edisi Olimpik London 2016 menerusi ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan edisi Rio de Janeiro empat tahun kemudian, yang turut disumbangkan oleh Pandelela, yang bergandingan dengan Cheong Jun Hoong dalam acara platform serentak 10m.

Malangnya selepas itu, acara terjun semakin suram hingga ke hari ini gara-gara ketandusan pelapis yang menyaksikan Malaysia gagal melangkah ke Sukan Olimpik Paris 2024 buat kali pertama sejak konsisten di temasya berkenaan pada Sydney 2020. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram