SETELAH beberapa musim memanaskan bangku simpanan di Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid mengambil keputusan untuk menyertai Terengganu FC (TFC) secara pinjaman.
Penyerang yang dikenali dengan kelincahan di atas padang itu disambar dengan hasrat Ketua Jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner mampu menghidupkan semula kariernya menjelang musim 2024/25.
Melihat kepada situasi skuad Sang Penyu musim lalu, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu semakin hampir untuk beraksi dengan kerap musim depan.
Setakat ini, Safawi sudah beraksi dalam dua perlawanan pramusim bersama Terengganu FC ketika menentang Selangor FC II dan PDRM FC.
Meskipun begitu, pengendali kelahiran Croatia itu mendedahkan bahawa prestasi Safawi ketika ini belum menunjukkan prestasi dan kecergasan seperti yang dimahukan oleh pengendali skuad Peteh itu.
"Bagaimanapun, ketika perlawanan persahabatan yang pertama berdepan Selangor FC II, Safawi belum menunjukkan prestasi dan kecergasan seperti yang saya mahukan.
"Mungkin masih terlalu awal untuk menilai sebab dua musim sebelum ini dia tidak mempunyai banyak minit permainan.
"Hanya beberapa sahaja perlawanan yang dia main dan selebihnya duduk di bangku simpanan sahaja," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Kalau semua berhenti kerja sebab surat layang, susahlah — Hannah Yeoh

Safawi (kanan) belum mencapai standard yang dimahukan oleh Steinbruckner. — Facebook/TFC
BACA LAGI: 'Kenapa tidak?', Ivan Mamut sedia pecahkan rekod sendiri, pasang misi terhadap JDT
Meskipun begitu, Steinbruckner berharap agar pemain pinjaman dari Harimau Selatan itu tampil cemerlang dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) yang bermula Mei nanti.
"Saya harap dia menunjukkan peningkatan yang baik lepas ni dan mungkin ia permulaan yang sukar untuk mendapatkan rentak permainan bersama pasukan baharu.
"Tapi saya percaya dia merupakan pemain yang berkualiti dan saya jangka dia boleh mendapatkan kelebihan bermain bersama Sang Penyu," kongsinya.
Begitupun, Steinbruckner tetap memuji usaha Safawi dan rakannya, Akhyar Rashid yang juga merupakan pemain pinjaman dari JDT untuk mencari keserasian bersama skuad Sang Penyu dalam sesi latihan.
"Bagaimanapun, Safawi dan Akhyar merupakan pemain kebangsaan yang berkualiti, apa yang saya perhatikan mereka bekerja keras dalam sesi latihan bersama pasukan," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
