Dengar cakap ibu, GK Kelantan tukar karier tinggalkan bola sepak demi bergelar anggota polis


  • Podium
  • Sabtu, 06 Apr 2024

Irfan Haikal kini meninggalkan Kelantan untuk meninggalkan kerjayanya sebagai pemain profesional.

MASALAH tunggakan gaji dalam kalangan pemain Liga Super sememangnya menyakitkan. Tidak kira mana-mana kelab pun, setiap yang terkesan pasti sengsara kerana tiada pendapatan walaupun sudah mengerah kudrat.

Ia nyata memberikan kesan terutamanya kepada mental satu-satu pemain. Selepas telah memberikan segalanya ketika latihan dan perlawanan, kegagalan kelab membayar gaji pastinya merentap moral mereka untuk terus menabur bakti.

Di saat kelab seperti Kuala Lumpur City FC sudah menyelesaikan isu gaji tertunggak, masih tiada khabar buat Kelantan FC. Hingga kini, segalanya belum ada petanda baik menanti para pemain mereka.

Oleh kerana itu, ia nyata memberi kesan kepada perjalanan karier para pemain. Di saat beberapa pemain Kelantan pergi ke musuh setempat iaitu Kelantan Darul Naim FC, ada juga yang berjaya mendapatkan kelab baharu bagi musim 2024/2025.

Namun begitu, lain ceritanya buat penjaga gol iaitu Irfan Haikal yang mengambil keputusan meninggalkan bola sepak seketika demi mendapatkan kerjaya yang lebih terjamin.

BACA LAGI: Tak tidur malam antara 3 petanda anda 'ketagih' bermain Football Manager

350117428_789884006104137_3208181035205134234_n

Irfan mengakui menerima tawaran daripada beberapa kelab Liga M3. — Facebook/TRW Kelantan FC

Penjaga gol muda itu mendedahkan yang kini dia tidak lagi bergelar pemain profesional dan menjadi anggota polis sebagai polis bantuan.

"Saya kini tidak lagi bersama Kelantan, saya akan menjalankan tugas sebagai polis bantuan di syarikat Sime Darby dan akan melapor diri selepas Hari Raya Aidilfitri," kata Irfan kepada Majoriti.

Irfan mengatakan keputsan tersebut diambil selepas berbincang dengan pihak keluarga mengenai masa depannya dalam bola sepak. Katanya, dia turut menerima beberapa tawaran lain tetapi ibunya lebih senang melihatnya menjadi polis bantuan.

"Saya mengaku ini adalah satu keputusan yang sukar, waktu saya katakan kepada keluarga yang saya tetap mahu menjadi pemain profesional, mereka seakan tidak dapat menerima perkara itu.

"Akan tetapi, ibu datang kepada saya dan minta saya pertimbang semula keputusan. Apabila saya mengubah fikiran, dialah yang paling gembira dengan tindakan saya," ujar Irfan.

BACA LAGI: Terasa diri bodoh lepas bolos 11 gol, Irfan Haikal terkenang kata-kata pemain Selangor

344756217_269129122154652_9086027860123853093_n

Pesan ibu membuatkan Irfan memilih menjadi polis bantuan. — Facebook/TRW Kelantan FC

Sebelum memilih menyertai polis bantuan, Irfan mendedahkan dia menerima beberapa tawaran daripada kelab Liga M3. Malah, dia mengatakan sudah semakin hampir untuk menyertai Imigresen FC.

Walaupun bertukar karier dengan menjadi anggota keselamatan, tetapi Irfan masih akan terlibat dalam bola sepak namun hanya di peringkat amatur dengan dia akan beraksi buat pasukan Sime Darby yang beraksi dalam saingan Liga FAS.

Namun begitu, Irfan masih tidak berputus asa dengan misi menjadi pemain profesional. Menyedari masanya masih panjang dalam bola sepak, penjaga gol itu akan berusaha untuk kembali bermain di peringkat tertinggi.

Jalan yang diambil oleh Irfan ini adalah serupa dengan bekas rakan sepasukannya lakukan iaitu Ikhwan Yazek. Musim lalu, Ikhwan meninggalkan Kelantan untuk bekerja dalam salah sebuah agensi negeri tersebut.

Namun rezekinya masih panjang dalam bola sepak profesional apabila dia disunting oleh Negeri Sembilan FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram