Bagaikan terkena sumpahan 100 tahun, adakah Sang Kenari senasib Negeri Sembilan dan Perak?


  • Podium
  • Ahad, 07 Apr 2024

Skuad Sang Kenari difahamkan masih belum dibebaskan daripada sekatan pendaftaran pemain. — Facebook/KDAFC

PERMULAAN musim 2024/2025 Kedah Darul Aman (KDA) tidak berjalan seperti yang dirancang apabila kelab Utara tanah air berkenaan disahkan sudah keciciran mata walaupun saingan Liga Malaysia (Liga M) belum bermula.

Pasukan Hijau Kuning berkenaan terpaksa menerima hukuman potongan tiga mata oleh Malaysian Football League (MFL) serta denda RM50,000 pada saingan Liga M yang bakal bermula Mei depan.

Keputusan badan bebas, First Instance Body (FIB) dibuat oleh apabila KDA FC gagal menyelesaikannya pembayaran penuh tunggakan gaji pemain dari skuad musim lalu selepas diberikan masa untuk menyelesaikannya sebelum 30 Mac lalu.

Lebih mengeruhkan keadaan apabila Kedah juga berisiko tidak diberi Lesen Kebangsaan sekiranya Sang Kenari gagal membuat pembayaran penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023 pada 20 April depan.

Situasi yang dialami skuad kendalian Nafuzi Zain tersebut secara tidak langsung mengganggu semangat penyokong untuk menyambut sambutan 100 tahun penubuhan bola sepak Kedah sejak 1924.

BACA LAGI: Kalau semua berhenti kerja sebab surat layang, susahlah — Hannah Yeoh

isi perak

Fasa kejatuhan Perak berlaku pada saingan 2021 yang menyaksikan TBG diturunkan pangkat ke saingan Liga Perdana. — Facebook/PerakFC

Kekecewaan bertambah apabila Kedah berpotensi untuk menyambut sambutan 100 tahun itu dengan menyaksikan Hijau Kuning beraksi di liga bawah sekiranya Lesen Kebangsaan kelab ditarik semula oleh pengelola liga domestik, MFL.

Situasi yang berkemungkinan dihadapi Kedah ini pernah dialami oleh dua kelab Liga M iaitu Perak FC dan Negeri Sembilan FC (NSFC) apabila sambutan 100 tahun mereka diraikan dengan keadaan kelab yang memalukan.

Mengambil contoh kes yang menimpa Perak FC pada 2021 apabila kelab dengan gelaran The Bos Gaurus (TBG) itu tersungkur ke saingan Liga Perdana susulan kemerosotan prestasi keseluruhan pada sambutan 100 tahun mereka.

Zaman kejatuhan skuad Seladang itu bermula selepas timbul isu masalah gaji sehingga menyaksikan beberapa pemain utama seperti Nazirul Naim dan Shahrul Saad meninggalkan pasukan pada musim 2021.

Perak sebelumnya mempertahankan rekod sebagai satu-satunya pasukan yang belum pernah jatuh dari Liga Super sejak diperkenalkan pada 2004 namun kejatuhan berlaku dalam sekelip mata ketika sambutan 100 tahun mereka.

BACA LAGI: Safawi belum capai standard — Tomi

Senario Negeri Sembilan FC pula berlaku pada musim lepas apabila sambutan ulang tahun penubuhan ke-100 dicemarkan dengan kekalahan demi kekalahan sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan penyokong.

Kekecewaan demi kekecewaan itu akhirnya dizahirkan oleh penyokong apabila pemain ke-12 Negeri Sembilan beramai-ramai menyanyikan chant ‘100 tahun ke mano’ yang ditujukan khas buat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab ketika itu, Satwant Singh.

Perayaan Jubli Emas yang sepatutnya diraikan dengan kejayaan lebih manis itu sebaliknya dihidangkan dengan masalah gaji sehingga menjejaskan prestasi pemain dan akhirnya skuad Jang gagal untuk menghuni kedudukan lima terbaik liga.

Musim 2023 menyaksikan pasukan yang dibimbing oleh K. Devan itu menghabiskan kempen Liga Super dengan menghuni kedudukan kesembilan apabila hanya merekodkan enam kemenangan, sembilan seri dan 11 kekalahan.

Sama ada Kedah akan terkena sumpahan 100 tahun yang dialami Perak dan Negeri Sembilan, semuanya bergantung kepada pengurusan Hijau Kuning untuk menyelesaikan masalah dalaman mereka secepat mungkin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram