PERTEMUAN 'derby' London berlangsung dalam bola sepak wanita England pada Ahad apabila Chelsea menentang Arsenal untuk Piala Conti Wanita.
Aksi yang diadakan di Stadium Molineux berkenaan menyaksikan skuad The Gunners muncul juara selepas Stina Blackstenius menjaringkan gol pada masa tambahan.
Kemenangan mereka itu menyaksikan skuad The Blues gagal meraih kejuaraan 'quadruple' dengan mereka masih bersaing dalam tiga kejohanan lain.
Namun, apa yang lebih mencuri perhatian dalam pertembungan tersebut adalah apabila pengurus kedua-dua kelab mencetuskan pertembungan hangat selepas perlawanan tamat.
BACA LAGI: [VIDEO] Bekas bek kelab EPL jadi hero, tak fikir 2 kali tumbangkan penceroboh padang bersenjata
BACA LAGI: Tidak dibayar ikut beban kerja, Malaysia kehilangan khidmat bekas bintang EPL terajui NFDP
Berdasarkan satu klip yang kini tular di media sosial, pengendali Chelsea, Emma Hayes kelihatan memarahi Jonas Eidevall ketika mereka mahu bersalaman antara satu sama lain.
Lebih teruk lagi, Hayes turut menolak pengurus Arsenal itu yang kemudiannya kelihatan terkejut dengan sikap rakan sejawatannya itu.
Berkata kepada media, Hayes mengatakan kemarahannya berkenaan berpunca daripada kelakuan Eidevall sepanjang perlawanan yang beberapa kali mempersoalkan keputusan pengadilan.
Menurutnya, jurulatih dari Sweden tersebut sepatutnya diarahkan meninggalkan zon teknikal dengan kad kuning kedua perlu diberikan.
Bagi Eidevall pula, dia enggan memburukkan lagi keadaan dengan menegaskan bahawa kelakuannya sepanjang aksi getir itu hanya bertujuan memastikan permainan diadakan secara adil. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram