Bola Pegun kembali menemui pembaca dengan tumpuan kepada pemain beragama Islam yang tetap cekal mengerah kudrat di padang sepanjang Ramadan. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, cuba berkongsi sorotan mengenai pasukan-pasukan di pelbagai liga dengan kisah mereka masing-masing.
DI sebalik pemain beragama Islam tetap berpuasa dalam perlawanan sepanjang Ramadan, namun tidak semua mereka dihormati kerana memenuhi tuntutan Rukun Islam ketiga itu. Ada yang menerima provokasi tidak sepatutnya hingga ada kalanya menimbulkan ketegangan walaupun kejadian seumpamanya tidak meluas.
Dalam satu perlawanan separuh akhir Piala Belanda di Stadium De Kuip, Rotterdam pada 6 April tahun lalu, konfrontasi antara pemain kedua-dua pasukan mencemarkan kemenangan Ajax Amsterdam yang turut menyaksikan pemain pelawat, Dusan Tadic, membuat isyarat tangan mempersendakan Orkun Kokcu yang berbuka puasa di pertengahan permainan.
Kokcu, pemain tengah berusia 22 tahun, adalah tonggak kesebelasan utama Feyenoord yang turut mewakili skuad kebangsaan Turki dalam aksi antarabangsa.
Menurut laman trtworld.com, pemain sayap Serbia, Tadic, menerima cemuhan gara-gara provokasi memperlekehkan agama Kokcu – salah satu daripada beberapa insiden dalam kemenangan 2-1 Ajax ke atas musuh ketat mereka itu.
Tadic sudah beberapa kali mencetuskan kontroversi dalam komuniti Muslim seluruh dunia. — Agensi
Insiden itu tercetus apabila pemain-pemain Muslim Feyenoord, termasuk kapten, Kokcu, dan Oussama Idrissi dari Maghribi bergegas ke garis tepi padang untuk berbuka puasa kira-kira 30 minit selepas sepak mula perlawanan.
Sementelah perlawanan diberhentikan seketika, pemain-pemain Feyenoord selebihnya turut mengambil kesempatan untuk melepaskan dahaga.
Dalam separuh masa kedua, Tadic menjatuhkan Kokcu selepas satu terjahan dengan turut memijak kaki pemain tuan rumah itu hingga menimbulkan pertelingkahan di antara kedua-duanya.
Menyusuli pertikaman lidah yang berlaku, Tadic membuat isyarat tangan yang dilihat mempersendakan Kokcu kerana berbuka puasa sebelum itu hingga menambah bahang kepada situasi berkenaan.
Tadic, 34, yang mewakili Ajax sejak 2018, sebelum perlawanan itu enggan memakai lilitan lengan tertulis “Doa Untuk Turki dan Syria” dalam satu aksi liga Eredivisie. Dicemuh hebat kerana keengganannya itu, pemain Serbia itu kemudian mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa menerusi Twitter.
Tadic melakukan isyarat tangan yang seakan-akan mempersendakan Kokcu. — Agensi
“Kejadian gempa bumi di Turki dan Syria telah memberi kesan besar kepada saya. Ingatan saya adalah kepada rakyat kedua-dua negara yang kehilangan orang yang mereka sayangi dalam tragedi ini dan semua mereka yang terjejas,” katanya.
Dalam satu perlawanan di antara Ajax dan Feyenoord yang digelar "De Klassieker" di Johan Cruyff Arena pada 19 Mac 2023, Kokcu enggan bersalaman dengan Tadic sebelum perlawanan di Amsterdam itu.
Kisah yang satu lagi ini pula mungkin sudah lama berlalu tapi harus ada yang mengingati kerana kontroversi yang ditimbulkannya.
Hanya selepas 28 minit perlawanan Inter Milan dan Bari dalam Serie A pada 23 Ogos 2009 yang berkesudahan seri 1-1, pengurus Inter, Jose Mourinho, mengeluarkan Sulley Ali Muntari atas alasan pemain Ghana itu dilihat bermasalah dan kurang bertenaga berkaitan puasa Ramadan.
Komen ‘Si Istimewa’ itu mengundang kemarahan masyarakat dan pemimpin Islam Itali tapi Mourinho segera menjelaskan bahawa dia tidak boleh mengkritik aksi Muntari kerana ia berkaitan dengan tuntutan agamanya.
Mourinho (kiri) dan Muntari mempunyai hubungan baik sehingga hari ini. — Agensi
“Saya terima dia seadanya dan saya tidak pernah kata Muntari harus melupakan kepercayaannya,” kata Mourinho yang menyalahkan media kerana menyalahertikan kenyataannya.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, lebih pintar mengelakkan kontroversi seumpamanya ketika membincangkan perihal dua bintangnya, Mohamed Salah dan Sadio Mane yang berpuasa menjelang final Liga Juara-Juara menentang Real Madrid pada 2018 dan Tottenham pada 2019 bersempena dengan Ramadan.
“Agama adalah satu perkara peribadi, seperti yang saya fahami, jadi tiada apa yang harus dikatakan mengenainya kerana segala-galanya adalah baik. Anda boleh lihat kedua-duanya dalam latihan, mereka nampak amat bersemangat dan bertenaga,” katanya sebelum berdepan Real Madrid.
Sebelum berdepan Tottenham pula, Klopp mengungkapkan: “Salah dan Mane memberikan yang terbaik, sama ada ketika berpuasa atau sebaliknya. Dalam hidup ini, ada perkara lebih penting daripada hanya bola sepak.”
Dalam perkembangan berkaitan, bekas bek tengah Chelsea, Kalidou Koulibaly, yang kini bersama Al Hilal dalam Liga Pro Arab Saudi, percaya ia sesuatu yang “menakjubkan” untuk Liga Perdana Inggeris (EPL) memberhentikan permainan seketika bagi pemain beragama Islam berbuka puasa.
Klopp (kanan) tidak pernah mempertikaikan amalan agama anak-anak buahnya. — Agensi
Beberapa perlawanan EPL menyaksikan pemberhentian itu apabila masuk waktu Maghrib, antaranya pertemuan Chelsea-Liverpool di Stamford Bridge pada 5 April 2023 apabila Koulibaly, Wesley Fofana dan N'Golo Kante berpeluang melepaskan dahaga di garis tepi padang.
Ketua pasukan Senegal itu memberitahu BBC Sport: “Ketika Ramadan, rakan sepasukan melihat kami bersolat dan bertanya apa yang kami lakukan.
“Sangkaan mereka Ramadan berkisar kepada tidak makan dan minum pada siang hari sedangkan ia lebih daripada itu. Ia berasaskan kepada apa yang kami baca dalam Al-Quran, agama Islam, perlakuan kami dan juga sunnah Nabi Muhammad.
“Kami perlu jelaskan kepada mereka. Jadi, apabila ada yang bertanya, kami dapat memberi jawapan. Apabila anda datang ke sini dan melihat mereka memberhentikan permainan seketika untuk pemain Muslim berbuka puasa, itu menakjubkan.
“Ia tidak pernah berlaku kepada saya, jadi itu sebabnya saya berasa ia mengagumkan. Saya menontonnya di televisyen ketika Wesley berbuka puasa di tepi padang di Leicester, ia pada saya menakjubkan,” katanya seperti dipetik Daily Mail.
Fofana sering mementingkan kewajipannya untuk berpuasa di bulan Ramadan. — Agensi
Juga ketika Ramadan tahun lalu, kapten skuad kebangsaan Perancis, Kylian Mbappe, dilaporkan terpaksa campur tangan untuk menghindarkan pemain skuad bawah 21 tahun negara itu daripada melancarkan mogok.
Insiden itu adalah susulan kepada keputusan Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) melarang sebarang pemberhentian ketika perlawanan untuk pemain Muslim berbuka puasa.
Menurut laporan Get Football News France, pemain skuad belia Perancis enggan menangguhkan kewajipan berpuasa Ramadan yang bertembung dengan tempoh perlawanan antarabangsa pada Mac tahun lalu.
Setibanya di pusat latihan skuad kebangsaan Perancis di Clairefontaine, staf kejurulatihan dimaklumkan bahawa pemain berkenaan mahu memulakan ibadah puasa mereka serta-merta.
Mbappe merupakan antara yang lantang dalam isu pemain berpuasa di Perancis. — Agensi
Sebilangan mereka dikatakan mempertimbangkan ketika itu untuk membuat protes di pejabat pengurus skuad B-21, Sylvain Ripoll, dan cenderung dilanjutkan hingga memboikot pasukan.
Pemain berkenaan didakwa mahu memulaukan waktu makan tengah hari sebagai menunjukkan komitmen mereka untuk berpuasa.
Khabar mengenai rasa tidak puas hati pemain skuad belia itu kemudian sampai ke pengetahuan FFF yang menghantar Mbappe untuk berbincang dengan mereka.
Hasil perbincangan itu, beberapa pemain bersetuju untuk menangguhkan berpuasa sehingga selepas Ramadan sambil selebihnya memutuskan untuk berpuasa pada hari tertentu.
Presiden FFF, Philippe Diallo, kemudian menawarkan alasan ketiadaan peraturan jelas merentasi semua skuad kebangsaan mungkin menyumbang kepada kekeliruan yang berlaku.
Namun, rasa hormat pemain belia berkenaan kepada kepimpinan Mbappe, penjaring 38 gol dalam 68 penampilan untuk Les Bleus, termasuk hatrik dalam final Piala Dunia Qatar pada 18 Disember 2022, dapat menghindarkan mogok itu daripada diteruskan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram