BOLA Pegun kembali menemui pembaca dengan tumpuan kepada pemain beragama Islam yang tetap cekal mengerah kudrat di padang sepanjang Ramadan. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, cuba berkongsi sorotan mengenai pasukan-pasukan di pelbagai liga dengan kisah mereka masing-masing.
RAMADAN adalah satu rangsangan dan bukannya kekangan, kata bintang Real Madrid, Antonio Rudiger, sambil bekas pemain Liverpool, Kolo Toure, mempertahankan agama Islam adalah segala-galanya baginya dan ibadah puasa hanya memperkuatkan dirinya dan tidak sekali-kali mengurangi kudratnya di atas padang.
Bulan puasa popular dalam bola sepak kerana pemain beragama Islam di Eropah tiada masalah menjalani ibadah berkenaan di sebalik tuntutan tinggi untuk mereka mengekalkan kecergasan sepanjang masa.
Sebagai buktinya, bekas kapten Real Madrid, Karim Benzema, lazimnya berprestasi cemerlang dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) sepanjang Ramadan – sesuatu yang boleh disahkan oleh lawan seperti Paris Saint-Germain (PSG), Liverpool, Chelsea dan Manchester City.
Siapa yang boleh lupa bagaimana Benzema yang baru berbuka puasa 15 minit sebelum sepak mula perlawanan peringkat pertama suku akhir UCL menentang Chelsea di Stamford Bridge pada 7 April 2022, menyumbat hatrik pada minit ke-21, 24 dan 46.
Jika penyokong khuatirkan berpuasa akan menjejaskan pemain, ketangkasan Benzema dalam perlawanan itu harus melenyapkan andaian berkenaan.
BACA LAGI: Daniel Ting rasai kehilangan duo JDT namun enggan lepaskan peluang
Karim Benzema berjaya merekodkan satu pencapaian peribadinya apabila membawa pulang trofi berprestij Ballon D'Or. — Agensi
Di sebalik berlapar dan dahaga sepanjang hari, penyerang beragama Islam itu berkenduri gol untuk Real Madrid mengukir kemenangan 3-1.
Dalam satu temu bual dengan Esquire Timur Tengah baru-baru ini, Benzema bercakap mengenai impak Ramadan ke atas rutin harian, jadual dan rejim latihannya.
“Tiada impak langsung. Ramadan adalah sebahagian hidup saya dan agama saya membuat berpuasa Ramadan sebagai satu kewajipan. Ia sangat penting dan saya berasa baik apabila saya berpuasa,” katanya.
Perlawanan di Stamford Bridge itu menyaksikan sebilangan pemain beragama Islam dalam kesebelasan kedua-dua pasukan. Seiring dengan Benzema, pemain pertahanan, Ferland Mendy, turut dibariskan sambil Chelsea menampilkan Antonio Rudiger, N'Golo Kante dan Hakim Ziyech, dengan Malang Sarr di bangku simpanan.
Benzema tidak lagi bersama Real Madrid tapi masih ada empat pemain barisan utamanya yang berpuasa pada Ramadan kali ini -- Rudiger, Mendy, Brahim Diaz dan Arda Guler.
Rudiger tidak menyembunyikan kepercayaannya sambil pemain pertahanan itu memperagakan aksi berdoa selepas menghasilkan gol keduanya musim ini dalam kemenangan 4-0 ke atas Celta Vigo di Santiago Bernabeu, 11 Mac lalu.
Jadi, adakah berpuasa sepanjang Ramadan satu cabaran besar kepada pemain bola sepak?
Rudiger tidak menyembunyikan kepercayaannya sambil pemain pertahanan itu memperagakan aksi berdoa selepas mencetak gol. — Agensi
Rudiger memberitahu akhbar harian sukan Sepanyol, MARCA: “Tidak bagi saya kerana saya sudah biasa dengannya. Saya tidak makan atau minum apa-apa pada siang hari. Ia tidak mudah tapi anda berlatih dan tetap menjalani ibadah puasa. Ia salah satu senjata utama yang saya miliki – mentaliti yang kuat.”
Dalam temu bual itu, Rudiger memaklumkan dia bersolat lima kali sehari dan memohon izin berhenti sebentar ketika sesi soal jawab itu untuk solat Asar.
Kolo Toure, ketika masih menjadi jurulatih pasukan pertama Leicester City, turut bercakap mengenai kepentingan Ramadan dan berpuasa serta mengapa ia penting buat pemain beragama Islam.
Ditemu bual dalam siri ‘Ramadan dan saya’ menerusi Sky, bekas pertahanan Arsenal dan Manchester City itu mengungkapkan: ”Agama saya adalah segala-galanya. Tanpanya, saya tidak fikir saya akan jadi siapa saya sekarang. Agama Islamlah yang memberi saya kemajuan dan menjadikan saya seorang yang lebih baik.”
Pemenang Liga Perdana Inggeris dua kali itu berkongsi dengan Sky Sports News cabaran berpuasa kepada seorang pemain elit dan betapa penting untuk dia mematuhi hukum sepanjang bulan penuh rahmat itu.
“Saya fikir untuk tidak minum air atau mengambil minuman panas adalah yang paling sukar buat seorang pemain bola sepak.
“Sejurus anda memulakan Ramadan, hari pertama adalah amat sukar, hari kedua juga sukar. Minggu pertamanya adalah amat sukar. Kemudian apabila tubuh anda dapat membiasakan diri dengannya, anda tidak lagi teringatkan air untuk minum,” katanya.
EPL memiliki ramai pemain beragama Islam yang akan berpuasa dalam tempoh ini – satu jangka masa sibuk sarat dengan perlawanan tatkala musim pertandingan menghampiri penghujungnya.
Di sebalik kehangatan bahang saingannya, Toure berkata, apabila pemain Islam dibenarkan berpuasa, ia membantu mereka daripada segi psikologi dengan mereka berasakan tidak mengabaikan sesuatu yang dituntut agama.
Bagi Toure, adalah penting untuk kekal berdisiplin dan mengendalikan dirinya secara professional ketika berpuasa. — Agensi
BACA LAGI: 'Strategi kami tidak berjaya', Aaron-Wook Yik akur bukan mudah menang lawan jaguh Indonesia
“Sekiranya mereka tidak berpuasa Ramadan, mereka tidak akan beraksi dengan baik kerana mereka akan berasa lemah daripada segi psikologi. Anda berasa anda mengabaikan suruhan Allah dan itu akan membuat anda lembik dan tidak akan bermain cemerlang.”
Dalam perlawanan EPL musim lalu di antara Leicester City dan Crystal Palace, pengadil memberhentikan seketika permainan untuk meluangkan untuk pemain beragama Islam, Wesley Fofana dan Cheikhou Kouyate, berbuka puasa.
Toure menonjolkan pentingnya momen itu dengan mengulas: “Itulah ketikanya anda melihat dunia sedang bergerak ke hadapan bersama masyarakat. Anda boleh melihat bagaimana orang ramai sedang cuba memahami satu sama lain – sesuatu yang penting di dunia ini.”
Dalam EPL musim lalu, terdapat perjanjian tidak rasmi di antara kapten untuk meluangkan masa kepada pemain berbuka puasa apabila berlaku pemberhentian permainan, misalnya ketika lontaran ke dalam atau sepakan gol. Amalan itu diulangi musim ini.
Bekas kapten Arsenal itu yang membuat penampilan sulung bersama The Gunners lebih 20 tahun lalu, berkata dia tidak pernah menghadapi bantahan sebagai pemain ketika berpuasa. Padanya, adalah penting untuk kekal berdisiplin dan mengendalikan dirinya secara profesional ketika berpuasa.
“Anda perlu pastikan mereka tidak sedar yang anda berpuasa. Saya fikir itulah yang penting dan itulah juga yang saya cuba lakukan. Setiap kali saya cuba untuk lebih fokus terhadap latihan dan cuba untuk tidak menunjukkan sebarang kelemahan,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram