Tiada sungutan, bintang bola sepak berasa diberkati dengan ketibaan Ramadan


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Sabtu, 16 Mac 2024

Salah merupakan antara pemain yang mampu beraksi di tahap terbaik meskipun menjalani ibadah berpuasa.

Bola Pegun kembali menemui pembaca dengan tumpuan kepada pemain beragama Islam yang tetap cekal mengerah kudrat di padang sepanjang Ramadan. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, cuba berkongsi sorotan mengenai pasukan-pasukan di pelbagai liga dengan kisah mereka masing-masing.

BINTANG Arsenal, Mohammed Elneny, pernah berkata pemain bola sepak tidak terlalu terkesan sepanjang Ramadan di sebalik sangkaan ramai yang mereka akan berhempas-pulas gara-gara kekurangan tenaga atau mengalami dehidrasi disebabkan berpuasa.

Sebaliknya, pemain antarabangsa Mesir itu mengungkapkan bahawa ibadah puasa memberi kepuasan kepada pemain beragama Islam kerana mereka turut mendapat keberkatan.

"Bagi kami, ia tidak memberi perbezaan besar. Kami gembira kerana Ramadan datang selama 30 hari setiap tahun dan anda tidak pun memikirkan sejauh mana berpuasa akan menjejaskan anda. Kami melakukannya atas suruhan Tuhan dan tentunya Tuhan memberkati kami.

"Setiap pemain bola sepak apabila berlatih perlu minum dan selepas latihan perlu makan. Ramadan tidak membenarkan ini tapi (berpuasa) memberikan anda sesuatu yang lain. Ia memberikan anda ketenangan bahawa Tuhan merahmati anda selain rasa hormat yang anda akan dapat daripada orang ramai,” katanya seperti dilaporkan akhbar Daily Mail, Selasa lalu.

BACA LAGI: Perancis tetap berdegil, enggan hentikan aksi untuk pemain buka puasa

431765824_953630566133713_5603629635120704675_n

Elneny diberikan peluang merasmikan bilik ibadah baharu di Stadium Emirates baru-baru ini. Facebook/Mohamed Elneny

Elneny menambah: “Berapa gol yang dijaringkan (Mohamed) Salah? Sesetengah pemain, apabila mereka berpuasa dan masih terus menjaringkan gol, anda boleh melihatnya dan dia melakukannya dengan hebat. Ini menunjukkan bahawa ia sesuatu yang sangat baik kerana Tuhan merahmati anda."

Ramadan tahun ini pula membawa lebih kegembiraan kepada pemain tengah bertahan itu yang baru membuka rasmi sebuah surau buat pemain di Stadium Emirates pada hari pertama berpuasa Isnin lalu – menyusuli pembukaan sebuah surau untuk penyokong di stadium itu 10 tahun lalu.

“Saya sangat bangga dengan pembukaan surau buat pemain di Emirates. Memiliki ruang khas untuk solat akan mengubah hidup pemain Arsenal pada masa depan. Saya berterima kasih kepada staf dan semua yang terlibat dalam menjadikan surau ini satu kenyataan,” katanya.

Sepanjang satu dekad lalu, lebih banyak kelab telah mengambil ikhtiar menyokong pemain dan penyokong Muslim mereka dengan menyediakan surau di stadium, menawarkan makanan halal pada hari perlawanan dan turut menganjurkan majlis iftar yang ditaja kelab.

BACA LAGI: Hukum puasa bagi wanita kering haid tapi belum mandi wajib

The match is paused so Muslim players can break their fast due to Ramadan during the English Premier League soccer match between Everton and Tottenham Hotspur at the Goodison Park stadium in Liverpool, England, Monday, April 3, 2023. (AP Photo/Jon Super)

Aksi antara Everton dan Spurs musim lalu dihentikan sementara bagi memberi peluang pemain Muslim berbuka puasa. Agensi

Pelbagai liga utama, tidak terkecuali di Eropah, sudah semakin sensitif dengan keperluan pemain beragama Islam supaya mereka diluangkan sedikit masa untuk berbuka apabila tiba waktunya ketika dalam perlawanan.

Pentadbir Liga Perdana Inggeris (EPL) turut merangka satu set garis panduan sebagai menunjukkan solidariti dengan pemain-pemain Muslim.

Dengan banyak perlawanan sepanjang Ramadan bermula sejurus sebelum matahari terbenam, sejumlah perlawanan EPL musim lalu memberhentikan permainan seketika sejurus masuk waktu Maghrib bagi meluangkan masa untuk pemain beragama Islam berbuka puasa secara ala kadar.

Perlawanan pertama EPL yang memberhentikan permainan seketika ialah pertemuan Everton dan Tottenham Hotspur pada April tahun lalu untuk meluangkan sedikit masa buat trio tuan rumah, Abdoulaye Doucoure, Amadou Onana dan Idrissa Gueye melepaskan dahaga.

Doucoure turut berkongsi dengan BBC Sport bahawa dia tidak pernah tinggal sehari pun berpuasa sepanjang Ramadan tapi ia tidak pernah menjejaskan dirinya secara fizikal.

WhatsApp Image 2024-03-16 at 09.59.10

Aksi Bundesliga antara Augsburg dan Mainz turut dihentikan sementara bagi memberi kelonggaran buat pemain Muslim.

“Saya berpuasa setiap hari (ketika Ramadan) dan tidak terlepas walaupun sehari. Ada kalanya bermain bola sepak menyukarkan kerana Ramadan seiring dengan musim panas. Tapi saya sentiasa bertuah untuk menjalani ibadah puasa dan tidak pernah ada masalah dengan keadaan fizikal saya. Saya amat bersyukur kerana itu,” katanya.

Perlawanan yang berkesudahan seri di antara Chelsea dan Liverpool di Stamford Bridge musim lalu turut menyaksikan aturan sama yang disebut pemain pertahanan, Kalidou Koulibaly, tidak pernah dilihatnya dalam mana-mana liga lain.

“Apabila anda ke sini dan melihat mereka memberhentikan permainan untuk pemain Muslim berbuka, ia sesuatu yang menakjubkan.

“Ia tidak pernah berlaku kepada saya dan kerana itulah saya berasakannya demikian. Saya juga menonton di televisyen bagaimana Wesley (Fofana) berbuka puasa ketika permainan sewaktu bersama Leicester dan saya rasa itu menakjubkan,” katanya.

Menurut satu laporan The Athletic, Fofana bangun untuk bersahur pada jam 2.30 pagi – bermakna seorang pemain akan berlapar dan dahaga lebih 12 jam yang boleh memberi kesukaran pada hari perlawanan ketika dia dituntut berada pada tahap kecergasan optimum.

“Ini mendatangkan cabaran kepada pemain bola sepak dan atlet profesional. Anda dikehendaki berlatih di tahap tertinggi dan perkara paling diutamakan ialah mengoptimumkan prestasi, kekal berhidrat dan cukup tidur,” kata ketua perubatan sukan kelab Crystal Palace, Dr Zafar Iqbal.

skysports-fofana-leicester_5357483

Fofana mengambil sedikit masa untuk berbuka ketika perlawanan diberhentikan sementara. Agensi

Malah, seperti didedahkannya, sesetengah pemain mula berpuasa sebelum ketibaan Ramadan agar tubuh mereka dapat mengadaptasi dengan cepat.

Iqbal dengan bantuan pakar pemakanan kelab mempersiapkan amalan pemakanan khusus bagi pemain beragama Islam dengan berhati-hati mengelakkan sajian kaya karbohidrat sewaktu mereka berbuka puasa.

“Kami perlu berhati-hati agar tidak memberi mereka makanan yang sarat tenaga seperti gorengan dan yang bergula tinggi. Disebabkan tubuh tidak mendapat makanan untuk satu tempoh lebih 12 jam pada waktu siang, mengambil makanan seperti itu ketika berbuka puasa akan menyebabkan simpanan lemak.

“Sepanjang Ramadan, terutamanya, pemain-pemain hendaklah dipastikan tidak menambah lemak berlebihan. Satu-satunya cara ialah memastikan mereka mengambil makanan yang betul,” kata Iqbal lagi.

BBC melaporkan terdapat 253 pemain Muslim dalam pasukan-pasukan utama dan akademi empat divisyen utama dalam Liga Inggeris pada 2023 yang memerlukan mereka membahagikan masa di antara latihan dan perlawanan dengan kewajipan sepanjang Ramadan.

Bagi Ramadan tahun ini, ramai bintang bola sepak yang memuat naik ucapan di media sosial sempena bermulanya bulan mulia itu.

GIVs08NWMAAS0Pu

Ozil memberikan ucapan sempena sambutan Ramadan yang diraikan umat Islam seluruh dunia. X/Mesut Ozil

Tidak cukup dengan tuntutan bola sepak profesional yang sentiasa mencabar, pemain-pemain ini tetap akan terus berlatih di samping beraksi dalam perlawanan setiap minggu tanpa dapat menikmati amalan pemakanan rakan-rakan sepasukan mereka yang bukan beragama Islam.

Antonio Rudiger menulis di Instagram atau X: “Ramadan Mubarak kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Moga-moga Tuhan menerima puasa dan ibadah kita semua di bulan mulia ini.”

Bekas bintang skuad kebangsaan Jerman, Real Madrid dan Arsenal, Mesut Ozil, menokok: “Ramadan Mubarak kepada saudaraku di seluruh dunia. Moga-moga amadan kali ini memberikan kita semua keamanan, kegembiraan dan limpahan keberkatan.”

Paul Pogba turut memuat naik ucapan ringkas: “Ramadan Kareem.”

Beberapa pemain lain – antaranya Ilkay Gundogan, Nayef Aguerd, Sadio Mane dan Hakim Ziyech -- turut tidak ketinggalan menggunakan platform media sosial untuk berkongsi dengan pengikut mereka meraikan ketibaan bulan penuh bermakna ini. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram