PERMULAAN cemerlang buat Liverpool pada musim ini apabila mereka berjaya membawa pulang piala pertama selepas menewaskan Chelsea dalam aksi final Carabao Cup pada Isnin.
Dalam perlawanan getir yang diadakan di Wembley, skuad kendalian Jurgen Klopp terpaksa berdepan kesukaran apabila turun tanpa ramai pemain utama seperti Alisson Becker, Mohamed Salah serta Diogo Jota.
Pertarungan sengit dihasilkan oleh kedua-dua kelab menyaksikan gol kemenangan terhasil dua minit sebelum separuh masa kedua masa tambahan berakhir.
Tandukan daripada Virgil van Dijk berjaya menembusi gawang Chelsea sekali gus memberikan kemenangan 1-0 buat The Reds serta piala domestik pertama mereka musim ini.
BACA LAGI: Hanya sedia runding pegangan saham, bukan jual kelab KL Rovers
Van Dijk (jersi merah, tengah) menanduk masuk bola ke gawang Chelsea pada penghujung masa tambahan. — Agensi
Dalam pada itu, apa yang menarik mengenai kejayaan Liverpool itu adalah keraian para pemain kelab tersebut yang begitu teruja kerana jaringan berjaya dihasilkan.
Faktor sengitnya perlawanan tersebut membuatkan ramai pemain Liverpool menyerbu ke tepi padang sewaktu tandukan Van Dijk menerjah jaring. Ia termasuklah barisan pemain The Reds yang cedera dan duduk di tempat duduk penonton seperti Darwin Nunez dan Dominik Szoboszlai.
Dalam video yang tular di X (Twitter), Nunez yang dilaporkan cedera dan tidak dapat beraksi di perlawanan akhir berlari dengan begitu laju apabila turun dari tempat duduknya menuju ke tepi padang untuk meraikan gol Van Dijk.
Larian deras Nunez itu dilihat seolah-olah pemain tersebut tidak cedera dan ia telah mendapat reaksi daripada pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.
Melihat kepada situasi tersebut, Klopp berseloroh mengatakan yang dia perlu bercakap dengan pasukan perubatan kelabnya untuk mengetahui situasi sebenar kecederaan dua pemainnya itu.
"Darwin Nunez dan Dominik Szoboszlai kedua-duanya tidak cergas untuk bermain, sebab itu mereka tidak beraksi.
"Tetapi ketika meraikan gol mereka dilihat seperti sudah cergas sepenuhnya, jadi saya perlu berbincang dengan pasukan perubatan mengenainya," ujar Klopp.
Senarai pemain yang mengalami kecederaan di Liverpool semakin panjang apabila mereka kehilangan Ryan Gravenberch ketika perlawanan akhir akibat diterjah oleh Moises Caicedo.
Beberapa nama lain juga masih lagi tidak dapat diturunkan seperti Thiago Alcantara, Curtis Jones, Trent Alexander-Arnold dan Joel Matip. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram