[VIDEO] Bekas bek kelab EPL jadi hero, tak fikir 2 kali tumbangkan penceroboh padang bersenjata


  • Podium
  • Selasa, 19 Mac 2024

Osayi-Samuel (21) bertindak menumbangkan individu tidak dikenali yang cuba menyerang pemain dan petugas Fenerbahce. — Agensi

AKSI liga utama Turkiye pada Isnin antara Trabzonspor dan Fenerbahce berubah kecoh apabila penyokong kedua-dua pasukan bertindak menceroboh padang selepas tamat perlawanan.

Kemenangan yang dicatatkan Fenerbahce sebagai pasukan pelawat sukar diterima, lebih-lebih lagi setelah pemain kelab itu meraikannya di atas padang.

Berang akan hal berkenaan, seorang penyokong Trabzonspor bertindak melepasi pihak pengawal stadium untuk menyerang anak-anak buah Ismail Kartal.

Namun, niat jahat individu bertopeng itu tidak kesampaian setelah beberapa pegawai Fenerbahce bertindak pantas untuk mematahkan serangannya.

BACA LAGI: Raikan jaringan depan penyokong lawan punca bola sepak di Turkiye sekali lagi kecoh

Tetapi, tumpuan lebih diberikan ke arah bek antarabangsa Nigeria, Bright Osayi-Samuel yang pantas berada di hadapan rakan sepasukannya ketika ketegangan tercetus.

Menerusi rakaman penyokong, pemain itu kelihatan segera melindungi pasukannya sebelum melepaskan tumbukan tepat ke arah penyokong Trabzonspor terbabit.

Penceroboh berkenaan kemudiannya ditahan dan dikerumuni petugas Fenerbahce yang kemudiannya hanya memburukkan situasi di Stadium Papara Park, Turkiye.

Aksi berani bekas pemain Queens Park Rangers (QPR) itu tidak terhenti di situ apabila dia kelihatan menumbuk seorang lagi individu yang cuba menyerang rakan-rakannya.

BACA LAGI: [VIDEO] Kelab Turkiye buat kejutan, tamatkan kontrak ubi muda tipu umur di aplikasi janji temu

GI54g4DWUAAaGkw

Penceroboh bertopeng itu mencetuskan perbalahan hangat di Stadium Papara Park, Turkiye. Agensi

Namun, apa yang menarik kali ini adalah apabila orang ramai mendapati lelaki tidak dikenali itu membawa sebilah pisau untuk mencederakan sesiapa sahaja di atas padang.

Osayi-Samuel serta pemain Fenerbahce kemudian dibawa ke dalam bilik persalinan dengan pihak keselamatan dan polis kekal sambil cuba menenangkan keadaan.

Dalam perlawanan itu, pasukan pelawat meraih kemenangan 3-2 dengan bekas pemain Manchester United, Fred menjaringkan dua gol sementara satu lagi disumbangkan Michy Batshuayi.

Sementara itu, gol Trabzonspor dijaringkan Enis Bardhi dan Trezeguet, namun masih belum cukup untuk menghadiahkan sebarang mata untuk tuan rumah.

Setakat ini, Persekutuan Bola Sepak Turkiye masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan dengan orang ramai berasakan hukuman berat perlu diberikan terhadap kedua-dua kelab. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram