SALAH satu kunci utama di sebalik kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) sejak ditubuhkan adalah kehadiran bintang import yang jarang mengecewakan.
Buktinya, jika dilihat musim lalu sahaja, skuad Harimau Selatan memiliki sembilan pemain luar negara dengan masing-masing memainkan peranan penting di posisi tersendiri.
Malah, sekiranya diimbau ketika kelab berkenaan baru sahaja menempa nama dalam arena bola sepak tanah air, terdapat beberapa nama yang pastinya sukar dilupakan penyokong.
Selain pernah memberi sumbangan menakjubkan di atas padang, segelintir daripada import JDT memiliki latar belakang yang menarik dengan informasi itu sukar dihiraukan.
Penyerang kelahiran Argentina, Patito Rodriguez merupakan salah seorang pemain dalam kategori tersebut selepas dia hadir dari kelab Brazil, Santos FC hampir sedekad lalu.
BACA LAGI: 'On track' jadi raja futsal lepas tawan skuad kebangsaan, JDT kena label pasukan mi segera
Patito (kiri) tidak perlu menunggu lama untuk menambat hati penyokong JDT.
Dia yang menyertai skuad Harimau Selatan secara pinjaman pada 2015 menjadi bualan hangat kerana pernah beraksi di samping bintang bola sepak ternama, Neymar.
Jadi, tidak hairanlah apabila penyokong JDT meletakkan harapan tinggi untuknya bersinar dalam misi menjadi sebuah kelab terbaik di tanah air.
Cita-cita itu mudah dicapai Patito selepas merekodkan dua bantuan gol dalam aksi debut Liga Super menentang ATM FA di laman sendiri.
Selain itu, kelincahan dan skil dipamerkannya membuatkan penyokong JDT cukup kagum apabila kelab berkenaan berjaya membawa bakat Amerika Selatan itu ke arena bola sepak tempatan.
BACA LAGI: Tewas mengejut kepada Police Tero, ada yang anggap JDT simpan kuku
Patito ketika beraksi di Greece bersama AEK Athens. — Agensi
Bagaimanapun, harapannya untuk kekal lebih lama tidak tercapai selepas beberapa siri kecederaan menyaksikannya sukar diturunkan dengan kerap.
Isu tersebut berlaku kerana Patito sering dijadikan sasaran pertahanan lawan yang terpaksa melakukan bentesan keras untuk menyekat gerakannya.
Ia sekali gus menyaksikan JDT mengambil keputusan untuk tidak mengekalkan khidmatnya pada penghujung musim yang membuatkannya pulang ke Santos.
Sejak itu, pemain yang kini berusia 33 tahun tersebut pernah beraksi di beberapa kelab ternama termasuk AEK Athens di Greece dan Newcastle Jets di Australia.
Patito kini masih beraksi secara aktif di liga utama Bolivia bersama Bolivar dengan dua gol sudah direkodkannya dalam empat penampilan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram