PADA Isnin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai pemain futsal yang akan membawa cabaran negara ke kejohanan jemputan di Thailand sebagai persiapan menghadapi saingan rantau Asia Tenggara.
Pasukan yang dikendalikan oleh Ketua Jurulatih, Rakphol Sainetngam akan memulakan latihan bermula 19 Mac hingga 9 April 2024 sebagai persiapan menjelang Kejuaraan Futsal Asean 2024 di Thailand.
Menariknya mengenai senarai pemain futsal kali ini, nama Johor Darul Ta'zim (JDT) antara yang mencuri tumpuan apabila tujuh wakil daripada kelab pendahulu Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) berkenaan akan mewakili Malaysia.
Antaranya, penjaga gol, Aiman Fikry, Mahadir Harahap, Abu Haniffa, Awalluddin Mat Nawi, Danial Dain, Ridzwan Bakri dan Saad Abdul Sani.
Di samping itu, skuad kali ini turut diwakili oleh empat pemain dari Selangor iaitu Syawal Sabaruddin, Faris Johan, Syahir Iqbal Khan dan Syed Aizad Daniel.
Manakala, baki pemain dipanggil ialah Hamdin Zarif dan Harith Naim dari Pahang Rangers, Farhan Khairul (Shah Alam City), Syed Shahrul Niezam (Terengganu) dan Hikmal Firdaus (Sabah).
BACA LAGI: Bukan import, tapi jeneral lokal JDT pernah dapat pujian melambung lepas hatrik di pentas Asia
Senarai pemain futsal yang didominasi oleh pemain JDT akan mewakili Malaysia ke Thailand. — Facebook/FAM
BACA LAGI: Bantu jentera serangan antara 3 tawaran Faiz Nasir bawa Sang Kenari terbang tinggi
Pengumuman itu mendapat perhatian pelbagai pihak, antaranya pengguna Facebook menerusi akaun Otai Sukan yang seperti memuji kelab JDT yang sudah melahirkan ramai pemain kebangsaan.
"Pemain JDT tawan skuad futsal kebangsaan. Baru setahun ditubuhkan, JDT nampaknya sudah melahirkan begitu ramai pemain kebangsaan sekali gus membuktikan bahawa mereka dalam landasan muncul raja futsal.
"Dalam senarai yang baru diumumkan FAM, tujuh daripada 16 pemain adalah dari JDT, satu kebanggaan buat Harimau Selatan walaupun kesemua pemain itu bukanlah dibangunkan oleh mereka.
"Juara berganda musim lalu, Pahang Rangers pula ada dua pemain, termasuklah bintang sensasi semakin meningkat naik Hamdin Zarif Mahmun," tulisnya.
Bagaimanapun, meninjau ruangan komen di media sosial, terdapat beberapa penyokong yang tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikongsikan di Facebook itu.
"Team mi segera, tak layak untuk dibanggakan. Kalau betul anak jantan, build up dari bawah," kata Koyak ke tu?.
"Rembat player orang memanglah, nak bangga apa sangat kalau macam tu," kata Zairie Sudin.
"Dah semua pemain kebangsaan main sana, mestilah kena panggil," kata Mohd Azril Bin Marjunam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram