Tewas mengejut kepada Police Tero, ada yang anggap JDT simpan kuku


  • Podium
  • Selasa, 19 Mac 2024

Pemain Police Tero kelihatan berpuas hati selepas meraih kemenangan tipis dalam aksi menentang JDT. — Facebook/Police Tero FC

MESKIPUN rata-rata tonggak utama pasukan sudah melaporkan diri ke dalam kem skuad kebangsaan, ia tidak menghalang Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk meneruskan aksi pramusim mereka.

Kelab dari Thailand, Police Tero menjadi pilihan skuad Harimau Selatan selepas pasukan tersebut tiba minggu lalu untuk menjalani sesi latihan di fasiliti milik JDT.

Malah, untuk memastikan lawatan pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu memberi manfaat buat kesemua pihak, dua aksi persahabatan dijadualkan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Perlawanan pertama yang berlangsung pada Sabtu menyaksikan JDT mudah mencatatkan kemenangan 5-0 dengan ia menyuntik semangat buat anak-anak buah Hector Bidoglio.

Namun, kisah berbeza dicatatkan dalam satu lagi aksi pada Isnin apabila Police Tero menundukkan juara Liga Super itu dengan skor 3-2.

BACA LAGI: Terbang ke Johor kuatkan lagi spekulasi Police Tero jadi 'pusat transit' JDT

430289683_784431777051829_7082575218025195940_n

Prestasi Police Tero dalam saingan Liga Thailand kali ini cukup mengecewakan. Facebook/Police Tero FC

Keputusan itu pasti membawa kejutan buat peminat bola sepak tanah air memandangkan tahap kedua-dua kelab terbabit cukup jauh ketika ini.

Bagaimanapun, bagi penyokong skuad Harimau Selatan, mereka beranggapan skor berkenaan tidak mencerminkan realiti sebenar mengenai juara bertahan Liga Super tersebut.

Menurut mereka, ketiadaan tonggak utama seperti Arif Aiman Hanapi dan Syihan Hazmi serta keputusan memberi motivasi buat Police Tero menyaksikan mereka tewas buat kali pertama dalam tempoh pramusim kali ini.

"Setelah dikalahkan 5-0 dengan skuad utama, kini Police Tero menang pula 3-2 apabila JDT turunkan skuad kedua dan pemain dari JDT II. Okey juga, ada oleh-oleh untuk bawa pulang ke Thailand," kata Nazreen Fahmi.

"Separuh pemain JDT sudah sertai kem negara, jadi tiada hal sekali pun. JDT pun hanya menggunakan separuh pemain dari pasukan simpanan," kata Ahmad Hairul.

BACA LAGI: Tamatkan badi kekalahan, impak segera TCH undang pujian fans Police Tero

420290761_789247733236900_4476010394027936539_n

Police Tero berkesempatan menggunakan fasiliti JDT untuk sesi latihan mereka. Facebook/Police Tero FC

"Sengaja sahaja tu mahu bagi muka kepada Cheng Hoe. Biar pemain Police Tero semangat apabila kembali ke Thailand nanti," kata Assrul Saufi.

Setakat ini, skuad The Silver Shield Dragons berada di tangga ke-14 daripada 16 pasukan dalam liga dengan hanya sembilan perlawanan berbaki buat mereka.

Bagaimanapun, harapan untuk kekal di divisyen teratas seakan-akan semakin sukar dengan kehadiran Cheng Hoe masih belum dapat mengubah nasib kelab.

Bagi JDT pula, persiapan pramusim pasukan akan diteruskan dengan aksi berdepan sebuah lagi kelab Thailand, Chonburi FC pada Rabu dan Jumaat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram