'The idea is to grow bigger', TMJ kongsi pelan Hafizh Syahrin lepas naib johan ARRC


  • Podium
  • Rabu, 20 Mac 2024

Hafizh membantu pasukannya menempa nama dalam saingan ARRC. — Instagram/HafizhSyahrin

PELUMBA negara, Hafizh Syahrin akhirnya menghadiahkan podium pertama buat Johor Darul Ta'zim (JDT) Racing Team selepas dia dinobatkan sebagai naib juara dalam kelas ASB1000 perlumbaan kedua Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada Ahad.

Pertandingan di Litar Antarabangsa Chang, Thailand itu menyaksikan Hafizh kembali bangkit melupakan momen jenteranya rosak pada perlumbaan pertama dan akhirnya mengibar bendera Johor sebagai simbolik kemenangan perlumbaan kedua.

Pelumba berusia 29 tahun itu beraksi cemerlang dengan menguasai perlumbaan pada peringkat awal sebelum Andi Farid Izdihar memecut pada tujuh pusingan terakhir untuk memintasnya.

Hafizh mencatat masa 20 minit 49 saat 963 detik untuk menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Andi Farid dari Indonesia, yang menang dengan catatan masa 20 minit 49 saat 192 detik untuk Honda Asia-Dream Racing with Astremo.

Kejayaan pertama pelumba yang dikenali dengan panggilan El Pescao itu bersama JDT Racing Team membuktikan kerjasama Hafizh sudah menemui pasukan sesuai untuk membantunya mencipta nama di dunia permotoran.

BACA LAGI: Bekas import Selangor, Kedah bakal uji JDT dalam aksi 'friendly' dengan kelab Thailand

WhatsApp Image 2024-03-20 at 12.44.33

Tangkap layar komen dari Tunku Ismail mengenai masa depan Hafizh bersama JDT Racing Team.

BACA LAGI: Tewas mengejut kepada Police Tero, ada yang anggap JDT simpan kuku

JDT Racing Team mula dibentuk pada penghujung tahun lepas apabila pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu diberikan kepercayaan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik pasukan untuk menjadi watak utama.

Susulan kejayaan pertama JDT Racing Team di pentas antarabangsa itu, Tunku Ismail yang sinonim dengan panggilan TMJ juga memberi bayangan bahawa mempunyai pelan yang sudah disusun cantik buat pelumba negara berkenaan.

"Ia baru permulaan. Lebih banyak akan tiba. Ideanya adalah untuk berkembang lebih besar setiap tahun. Tahniah Hafizh,” tulis TMJ ketika membalas ucapan tahniah kepada Hafizh di laman Instagram pada Ahad.

Projek baharu JDT itu berpotensi untuk menjadi lebih besar dan pastinya akan dihujani dengan pelbagai pencapaian pada tahun-tahun mendatang seperti skuad bola sepak, Harimau Selatan.

Selepas ini, Hafizh akan menunggang jenteranya, Ducati Panigale V4R ke pusingan kedua ARRC 2024 di Zhuhai, China pada 19 hingga 21 April ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram