Jika bukan Faiz, bintang dari Penang, JDT, Selangor boleh jadi pilihan Sang Kenari


  • Podium
  • Rabu, 20 Mac 2024

Skuad Sang Kenari memilih untuk mendapatkan Faiz bagi memperkuatkan pasukan bagi musim depan. — Facebook/KDA FC

SATU kejutan dibuat Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Isnin apabila nengumumkan kemasukan pemain versetail Terengganu FC, Faiz Nasir dengan status pinjaman.

Dia yang disambar dalam misi menguatkan lagi kualiti skuad Sang Kenari diharapkan dapat merealisasikan misi itu melihat kepada pengalaman dan gaya permainannya.

Tetapi, masih terdapat persoalan diberikan terhadap kebolehannya untuk membawa perubahan buat kelab Utara tanah air itu seperti mana disuarakan penyokong mereka.

Ini kerana rata-rata peminat gusar akan minit permainan direkodkannya musim lalu di samping isu kecergasan dialami pemain yang juga mesra disapa 'Messi Malaysia' itu.

Bagi mereka, perpindahan itu hanya dibuat untuk menambah bilangan pemain tanpa menilai kualiti masing-masing terlebih dahulu.

Selain itu, ada juga daripada mereka yang menyenaraikan pilihan lebih baik buat KDA FC pada jendela perpindahan kali ini dengan melihat kepada struktur kewangan dan gaya permainan Nafuzi.

Melihat kepada komen ditinggalkan di media sosial, ini merupakan tiga nama yang boleh disambar skuad Sang Kenari dengan kemampuan masing-masing jauh meninggalkan Faiz.

1. Nazmi Faiz Mansor

Ketika Nafuzi dan Faiz masih bersama-sama di Terengganu FC, pemain berusia 31 tahun berkenaan juga diletakkan sebagai pemain tengah meskipun posisi utamanya hanya di bahagian sayap.

Jadi, untuk mencari seseorang yang sesuai untuk isi profil itu ialah pemain tersisih di JDT, Nazmi Faiz Mansor yang semakin dilupakan dalam juara Liga Super itu.

BACA LAGI: Ubi muda' Sang Penyu sah ke Borneo, nasib Faiz Nasir masih samar

2479548

Nazmi memerlukan minit permainan untuk kembali ke kemuncaknya. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Walaupun dia jarang diletakkan di posisi sayap, kelincahan dan kebolehannya untuk membuat hantaran memberi gambaran bahawa dia sesuai untuk mengisi posisi itu.

Skuad Harimau Selatan pasti akan terbuka untuk melepaskan pemain itu yang sudah tidak lagi diturunkan secara kerap beberapa musim kebelakangan ini.

Tetapi, anak jati Selangor itu seakan-akan tidak bakal dilepaskan memandangkan sukar untuk mendapatkan persetujuan pada jendela perpindahan kali ini.

2. Rahmat Makasuf

Musim ini, Penang FC memilih untuk memberi peluang buat 'ubi muda' yang diserap dari skuad belia berbanding mendapatkan pemain berpengalaman dari kelab-kelab lain.

Ini akan menyekat peluang bagi sebahagian pemain yang sukar mendapatkan minit permainan musim lalu kerana pengendali, Akmal Rizal Ahmad Rakhli akan memberi peluang buat graduan pasukan simpanan.

BACA LAGI: Faiz Nasir mampu lengkapi gandingan 3 serangkai KDA FC

2551632-1160x773

Rahmat berdepan kemungkinan kesukaran mendapat peluang kerap dalam skuad Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

Antara pemain yang dijangka berdepan kesukaran itu ialah pemain sayap, Rahmat Makasuf yang kerap diletakkan di bangku simpanan.

Meskipun pernah diangkat sebagai antara pemain harapan di Terengganu FC, isu prestasi tidak menentu membuatkan bakatnya terpadam di mata penyokong.

Jadi, sekiranya Rahmat mahu mendapatkan angin baharu dalam karier, dia boleh meletakkan KDA FC sebagai antara destinasi terbaik demi menghidupkan semula kariernya.

3. Alif Izwan Yuslan

Melihat kepada skuad Gergasi Merah setakat ini, mereka sudah hampir bersedia untuk sekali lagi memberi saingan di peringkat domestik.

Ini akan membuatkan ramai pemain muda sukar mendapat peluang meskipun ketua jurulatih, Nidzam Jamil diketahui dengan kecenderungannya menurunkan 'ubi muda' dalam kariernya.

1889506

Alif Izwan mempunyai masa depan cerah dalam kariernya. Facebook/Selangor FC

Jadi, sekiranya mereka mahu meraih peluang secara kerap, masing-masing boleh cuba mencari angin baharu sebelum jendela perpindahan ditutup.

Salah seorang yang perlu mengambil peluang itu ialah Alif Izwan Yuslan yang mempunyai bakat setiap kali diturunkan baik di peringkat kelab mahupun skuad bawah 23 tahun negara.

KDA FC merupakan destinasi terbaik sekiranya dia mahu meraih tempat dalam kesebelasan utama dengan kualitinya jauh meninggalkan Faiz yang kian berusia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram