Kepulangan Rizal, Syafiq dinantikan, ada kelebihan buat Kedah — Baddrol


  • Podium
  • Selasa, 19 Mac 2024

Rizal (kiri) dan Syafiq merupakan dua rekrut terhangat buat skuad Sang Kenari dalam jendela perpindahan kali ini. — Facebook/KDA FC

ISU dan kemelut pengurusan bukanlah penghalang buat Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk mempersiapkan pasukan bagi musim akan datang.

Kemasukan pemain import bernilai, Sukhrob Nurullaev pasti diharapkan mampu mengubati kerinduan atas kehilangan Manuel Hidalgo yang kini milik Sri Pahang FC setelah berpindah secara pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT).

Namun, apa yang lebih menarik mengenai persiapan skuad Sang Kenari adalah apabila mereka membawa masuk pemain lokal untuk memberi pilihan buat pengendali, Nafuzi Zain.

Faiz Nasir tiba dari Terengganu FC dan Zamri Pin Ramli yang dibawa masuk dari Negeri Sembilan FC pasti memberi dimensi baharu buat kelab Utara tanah air itu.

Tumpuan penyokong Hijau Kuning bagaimanapun pasti terarah kepada kepulangan dua bekas pemain, Rizal Ghazali dan Syafiq Ahmad yang cukup dirindui.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Game panas', 7 kad kuning pernah cemari aksi JDT-KDA FC

431667581_443622824685567_4806836668258072573_n

Nurullaev merupakan satu-satunya import disambar skuad Sang Kenari setakat ini. Facebook/KDA FC

Syafiq yang kerap diletakkan di bangku simpanan JDT diumumkan milik KDA FC buat kali ketiga dengan kehadirannya pasti mampu menajamkan barisan serangan pasukan.

Bagi Rizal pula, dia yang menghabiskan dua musim bersama Sabah FC memilih untuk pulang ke kelab Utara tanah air berkenaan setelah kontraknya tamat dan tidak disambung.

Harapan menggunung pasti diletakkan di bahu kedua-dua pemain berpengalaman terbabit dalam misi menambah baik kedudukan skuad Sang Kenari.

Malah, bagi legenda kelab, Baddrol Bakhtiar, kemasukan Rizal dan Syafiq mampu membawa perubahan dalam pasukan, baik dari segi persembahan atas padang serta hubungan masing-masing di luar padang.

"Kepulangan mereka memang dinanti-nantikan penyokong Kedah, tambah-tambahan dalam golongan penyokong cilik.

BACA LAGI: Ketiadaan KL City FC, KDA FC buat Liga M hambar, rencat perancangan bola sepak

Ketua Pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar (kiri) dan Mohd Rizal Ghazali (kanan) menunjukkan Piala Sultan Ahmad Shah selepas pasukan mereka berjaya menewaskan pasukan Kedah 5-4 JDT, menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan Piala Sumbangsih antara Johor DT menentang Kedah di Stadium Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 20 JANUARI 2017

Baddrol (kiri) dan Rizal mempunyai hubungan persahabatan istimewa di luar padang.

"Rizal dan Syafiq ada kelebihan dari segi komunikasi dan mereka boleh menceriakan pasukan, membuatkan pasukan lebih harmoni," katanya kepada Majoriti.

Rizal dan Baddrol sememangnya merupakan rakan akrab di luar padang dengan masing-masing beraksi untuk beberapa musim di Kedah dan Sabah.

Hubungannya dengan Syafiq juga tidak kurang hebatnya kerana pernah bermain bersama-sama sebelum penyerang kebangsaan itu memilih untuk ke JDT.

Namun, Baddrol sudah tidak bergelar pemain profesional setelah menceburi bidang politik pada 2023 yang sekali gus menyaksikannya meninggalkan sukan ternama itu.

Skuad Sang Kenari kini sedang mengadakan sesi latihan pramusim, namun masih belum mengumumkan lawan bakal dihadapi bagi perlawanan persahabatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram