SELAIN era skuad double treble di bawah kendalian Allahyarham Azraai Khor Abdullah, zaman Tan Cheng Hoe mengepalai Kedah Darul Aman (KDA) FC juga merupakan salah kenangan terbaik pasukan Hijau Kuning.
Nama seperti Liridon Krasniqi, Sandro da Silva, Khairul Helmi Johari, Baddrol Baktiar, Rizal Ghazali dan Chidi Edeh yang mengetuai jentera serangan di tahun pertama Cheng Hoe membimbing Kedah pasti masih diingati para penyokong.
Bukan hanya enam bekas tonggak berkenaan, pemain import kelahiran Korea Selatan, Bang Seung-hwan juga masih dirindui penyokong Sang Kenari selepas membantu Kedah pada musim 2015 dan 2016.
Seung-hwan yang terkenal sebagai 'kereta kebal' Kedah itu hakikatnya bukan hanya menjadi watak penting di bahagian pertahanan dan tengah kerana dia juga pernah beraksi di jentera serangan pasukan.
Kemunculan awalnya sebagai pemain yang turun ke depan membantu Kedah apabila Cheng Hoe memberinya kepercayaan untuk menjadi penyerang menentang Pulau Pinang dalam aksi Liga Perdana musim 2015.
Selepas itu, pemain variasi berkenaan juga membantu Kedah dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia 2014 dengan menjaringkan dua gol dan menyediakan satu lagi gol untuk Baddrol Bakhtiar ketika seri 3-3 di Stadium City pada sembilan tahun lalu.
BACA LAGI: Sang Kenari antara 3 kelab 'hati kering' guna khidmat striker muda
Seung-hwan beraksi selama dua musim untuk Kedah. — Facebook/KDAFC
BACA LAGI: Aksi berdepan Oman, Safawi Rasid akui ada hikmah dapat 'loan' ke TFC
“Tidak ramai peminat Kedah menyedarinya tetapi Seung-hwan beraksi sebagai penyerang dalam Liga Korea semasa zaman mudanya. Hanya kira-kira tiga tahun yang lalu dia beralih kepada peranan bertahan.
“Dia main sebagai penyerang ketika menentang Pulau Pinang kerana penyerang biasa saya Chidi (Edeh dari Nigeria) cedera. Seung-hwan memberikan persembahan yang baik ketika menentang Pulau Pinang dan membuktikan dia masih tajam di depan gawang.
"Seung-hwan mungkin akan meneruskan dengan peranan baharunya menentang JDT (Johor Darul Ta'zim) II," kata Cheng Hoe menurut laporan media pada Mac 2016.
Ketika itu, Cheng Hoe terus bergantung kepada Seung-hwan untuk perlawanan penting menentang pasukan Liga Perdana, JDT II pada pusingan ketiga Piala FA di Alor Setar kira-kira sembilan tahun lalu.
Percaturan meletakkan Seung-hwan bagaimanapun tidak berhasil apabila JDT II mara ke suku akhir selepas menang tipis 1-0 ke atas Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar hasil jaringan tunggal Muhd Akram Mahinan pada minit ke-87.
Walaupun gagal mara ke suku akhir Piala FA 2015, Seung-hwan membantu KDA menjuarai saingan Liga Perdana pada musim 2015, naib juara Piala Malaysia 2015, tempat ketiga saingan Liga Super 2016, serta menjuarai Piala Malaysia 2016. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram