MASALAH gaji membabitkan dua pasukan Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC yang seakan-akan tidak menemui episod akhirnya jelas kurang disenangi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Dua pasukan Liga Super berkenaan difahamkan masih gagal untuk memenuhi syarat pembayaran hutang tertunggak yang sudah diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Liga Super Malaysia (MFL), baru-baru ini.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan bahawa jika permasalahan ini terus berlaku maka saingan Liga Super Malaysia bakal mendapat perhatian dan dikenakan denda oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), pada masa akan datang.
Lebih parah lagi jika skuad Sang Kenari dan pasukan Lembah Klang berkenaan berpotensi hilang dari radar Liga Super sekiranya masih gagal menyelesaikan isu tersebut.
BACA LAGI: Hanya 1 peratus halang Brendan Gan sertai Sri Pahang
Hamidin bimbang jika isu gaji kelab Liga Super akan mendapat perhatian FIFA. — Facebook/FAM
BACA LAGI: Mahu kekal di Malaysia, ‘jodoh’ Brendan Gan cuma diketahui lepas jumpa Oman
"Ini merupakan satu penyakit yang perlu ditangani dengan bersungguh-sungguh. Sejak empat tahun lalu banyak kelab yang telah kita singkirkan seperti Perlis dan Melaka.
"Masalah tidak membayar gaji pemain ini merupakan tindakan yang Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FIFA paling tidak suka jika ia berterusan berbanding kesalahan yang lain yang masih boleh dibincangkan.
"Saya yakin pihak penganjur, MFL sedang berbincang untuk mengambil tindakan yang tegas," katanya memetik laporan dari Stadium Astro.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkongsi bahawa Kedah dan KL City sedang menunjukkan kesungguhan mereka dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji yang menimpa sejak tahun lepas.
Memetik laporan media pada awal Mac ini, MFL memberikan peluang untuk kedua-dua pasukan itu menyelesaikan separuh daripada jumlah keseluruhan tunggakan sebelum atau pada 15 Mac ini, dan menyelesaikan keseluruhan tunggakan sebelum atau pada 29 Mac ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram