SAINGAN Liga Super 2024/2025 menyaksikan pelbagai kelab membawa masuk ramai bintang import untuk menguatkan lagi barisan mereka.
Kehadiran pemain-pemain import ini adalah dari pelbagai negara. Ada yang hadir daripada Argentina, Brazil malah Korea Selatan juga mempunyai wakilnya di Liga Super.
Satu negara yang mempunyai wakil pemain di Liga Super adalah Uzbekistan. Negara Asia ini mempunyai tiga pemain yang beraksi di Malaysia iaitu Sukhrob Nurullaev (Kedah Darul Aman FC), Nurillo Tukhtasinov (Terengganu FC) dan Umar Eshmurodov (Selangor FC).
Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan mendalami cabaran yang bakal menanti mereka bersama kelab diwakili. Setiap daripada mereka mempunyai liku berbeza untuk mencipta nama di Malaysia.
Misi buat penyokong move on
Pemergian Manuel Hidalgo nyata memberikan kesan kepada barisan serangan Kedah untuk musim ini. Namun begitu, pengurusan Sang Kenari pantas membawa masuk Nurullaev sebagai pemain import baharu.
Beraksi di posisi serupa dengan Hidalgo, Nurullaev terdedah kepada misi untuk membuatkan penyokong Kedah move on daripada saat-saat indah bersama pemain tersebut yang sudah pun berpindah ke Sri Pahang FC.
Impak Hidalgo kepada penyokong Kedah adalah besar, jadi Nurullaev perlu menyamainya dengan memberikan persembahan hebat atau lebih baik supaya membuat mereka melupakan seketika kelincahannya di atas padang.
Dengan versatiliti beraksi di kedua-dua belah sayap, boleh katakan Nurullaev sudah mencuri separuh hati penyokong Kedah. Apa yang tinggal adalah memberikan persembahan cemerlang ketika di padang.
BACA LAGI: Kisah seperti bintang The Magpies, import baharu TFC dedah cerita sedih pilih nombor jersi 60
Nurullaev perlu menyamai atau melebihi prestasi Hidalgo. — KDA FC
Masa untuk keluar daripada bayang-bayang
Antara tiga pemain Uzbekistan yang beraksi di Liga Super, Nurillo merupakan yang paling senior kerana sudah bersama Terengganu sejak musim lalu.
Impak Nurillo kepada skuad Penyu adalah baik dan keputusan kelab untuk mengekalkan khidmatnya pada musim ini disambut baik oleh penyokong mereka.
Namun begitu, Nurillo masih lagi disamakan dengan bekas pemain import mereka yang juga berasal dari Uzbekistan iaitu Sanjaar Shaakhmedov dari segi kualiti. Kata mereka, Nurillo sudah bagus tapi tidak setanding Sanjaar.
Mungkin ada beberapa bahagian yang Nurillo masih tidak mampu menyaingi kehebatan Sanjaar yang jelas adalah fan-favourite dalam kalangan penyokong Terengganu. Oleh itu, Nurillo perlu tampil lebih garang musim ini bagi terus bertakhta di hati penyokong Terengganu.
BACA LAGI: Situasi tak berubah, isu kekurangan penyerang lokal pernah jadi kerisauan jurulatih HM
Nurillo sering dikaitkan dengan Sanjaar oleh penyokong Terengganu. — Terengganu FC
Harapan sebesar gergasi
Tekanan paling tinggi boleh dikatakan terletak kepada Eshmurodov sebagai 'kereta kebal' baharu Selangor. Selepas pemergian Yazan al-Arab, kehadirannya diharap dapat menguatkan lagi pertahanan Gergasi Merah yang semakin baik pada musim lalu.
Hadir dengan reputasi besar sebagai muka tetap skuad kebangsaan Uzbekistan di Piala Asia 2023, percaturan Selangor membawa masuk Eshmurodov pastinya sebagai satu mesej kepada semua lawan Gergasi Merah yang mereka benar-benar serius memburu kejuaraan domestik serta cemerlang di Asia.
Eshmurodov merupakan muka tetap di Piala Asia 2023 untuk Uzbekistan. — Selangor FC
Isu pertahanan mudah bolos sudah menjadi kerisauan penyokong Selangor sejak beberapa musim dan pada 2023, ia menyaksikan peningkatan signifikan tetapi masih ada ruang untuk perubahan dilakukan.
Eshmurodov hadir dengan reputasi sebesar gergasi dengan harapan juga mempunya saiz yang sama. Jika berjaya dilakukan, dia pasti akan diangkat sebagai wira dalam kalangan pencinta Gergasi Merah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram