WALAUPUN baru menyertai sesi latihan pramusim Sri Pahang namun penyerang import, Kpah Sherman sudah bermotivasi untuk membantu skuad Tok Gajah mencapai kejayaan pada musim baharu ini.
Penyerang antarabangsa Liberia itu berkata, para pemain sangat bermotivasi untuk mencapai prestasi terbaik sebelum musim Liga Super bermula pada Mei dan ia secara tidak langsung membakar semangat dalam dirinya untuk menjadi penjaring terbanyak Tok Gajah.
"Saya mempunyai rekod yang saya ingin capai.
“Matheus Alves kini merupakan penjaring terbanyak bersama pasukan Pahang dalam semusim dengan 18 gol. Saya mahu memecahkan rekod berkenaan,” kata pemain berusia 32 tahun berkenaan.
Pada musim lepas, Sherman menjaringkan 12 gol dan ia merupakan jumlah yang agak memberangsangkan pada tahun pertamanya bergelar pemain Tok Gajah.
“Saya juga berharap dapat membantu mereka (Sri Pahang) memenangi mana-mana piala domestik juga.
“Kami mahu membalas semua sokongan dan bantuan yang diberikan oleh pemilik pasukan (Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Ahmad Shah) untuk kelab. Kami mahu menggembirakan beliau," katanya.
BACA LAGI: Hanya 2 kad merah sepanjang karier, 'The Butcher' Sri Pahang miliki corak permainan bersih
Hidalgo menyertai Sri Pahang secara pinjaman dari Johor Darul Ta'zim. — Facebook/SriPahang
Pemenang Kasut Emas Liga Super 2019 itu adalah salah satu daripada beberapa pemain import utama yang dikekalkan oleh Sri Pahang pada musim ini.
Pemain lain yang dikekalkan ialah bek tengah Argentina, Stefano Brundo dan pemain tengah Uzbekistan, Kuvondik Ruziev.
Selain itu, bekas pemain Terengganu itu juga teruja dengan kehadiran beberapa penyerang terkemuka seperti pemain sayap Argentina Manuel Hidalgo; penyerang kedua Ukraine, Mykola Ahapov dan pemain sayap Bawah 23 tahun Malaysia, T. Saravanan.
Pemain dengan 12 kaps antarabangsa bersama Liberia itu jelas gembira apabila pasukan bimbingan Fandi Ahmad akhirnya memiliki banyak pemain berkualiti di bahagian serangan.
“Kualiti pemain yang bagus menyebabkan tahap motivasi semakin tinggi semasa latihan. Saya harap pihak pengurusan akan terus mengekalkan motivasi kami sepanjang musim ini. Jurulatih Fandi Ahmad telah membuat beberapa perubahan untuk meningkatkan pasukan.
“Dia (Fandi) semakin menambah baik pasukan teknikal dan aliran latihan sedikit berbeza. Terdapat banyak penyerang yang berada di belakang saya dan saya harap ia akan membuahkan hasil. Sri Pahang tidak boleh bergantung pada saya untuk capai matlamat.
“Kepulangan Hidalgo adalah baik dan Ahapov juga menunjukkan kualiti. Ruziev juga telah membiasakan diri dengan persekitaran Malaysia. Ia bagus untuk kelab," kata bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC itu.
BACA LAGI: Sudah belanja sakan, masih ada ruang trio dari JDT, TFC dan Selangor tukar angin ke Borneo
Musim 2024/2025 adalah tahun kedua Fandi bersama skuad Tok Gajah. — Facebook/SriPahang
Sherman sudah bermain dalam Liga Malaysia sejak 2017, bermula dengan MISC-MIFA dalam Liga Perdana dan kemudian menjadi penjaring terbanyak Liga Super dengan 14 gol apabila beraksi bersama PKNS pada 2019.
Selepas itu, penyerang tinggi lampai berkenaan berpindah ke Kedah, beraksi dari 2020 hingga 2021 sebelum menyertai Terengganu pada 2022 dan kemudian menyertai Sri Pahang pada tahun lalu.
“Ia baik untuk saya di sini, saya suka Malaysia. Ia adalah rumah untuk saya. Saya gembira kerana saya masih dihargai oleh kelab dan saya pastinya berhasrat untuk memberi lebih baik buat pasukan," jelasnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram