TERENGGANU FC semakin hampir melengkapkan skuad untuk saingan akan datang setelah memperkuatkan hampir kesemua bahagian pada jendela perpindahan kali ini.
Safawi Rasid dan Akhyar Rashid yang tiba secara pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) serta penyerang, Ismahil Akinade diharapkan dapat menajamkan lagi jentera serangan.
Bagi bahagian tengah pula, skuad Sang Penyu memilih untuk menyambar Akram Mahinan sementara Manuel Ott turut diumumkan kepulangannya dari Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Pemain pertahanan Belanda, Matthew Steenvoorden turut menyertai Terengganu FC yang pasti akan dapat memberi tentangan dalam saingan Liga Super musim depan.
Tetapi, aktiviti perpindahan kelab Pantai Timur itu seakan-akan masih belum menemui titik noktahnya apabila mereka dikaitkan dengan pemain tengah, Marin Pilj.
BACA LAGI: Dikaitkan ke Sang Penyu, kisah 'transit' Tan Cheng Hoe berulang?
Marin (tengah) kelihatan di samping Tomislav baru-baru ini.
Jeneral berusia 27 tahun yang kini beraksi bersama NK Varazdin di Croatia itu boleh dianggap sebagai komponen terakhir diperlukan pengendali, Tomislav Steinbruckner untuk bersaing secara kompetitif musim depan.
Meskipun masih belum diumumkan, pemain dengan ketinggian 1.65 meter terbabit seakan-akan semakin hampir untuk menyertai Terengganu FC setelah kelibatnya kelihatan di samping Tomislav.
Namun, melihat kepada rekod sepanjang kariernya, Marin bukanlah seorang pemain dengan rekod memberangsangkan, lebih-lebih lagi apabila dia tidak pernah meraih sebarang gelaran setakat ini.
Perkara berkenaan pasti akan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong yang gusar akan kemampuannya untuk meningkatkan kualiti pasukan.
BACA LAGI: Dah jumpa orang kanan Tomi, import Croatia jadi senjata terakhir Sang Penyu
Pusic hanya bertahan separuh musim bersama skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Bagaimanapun, berdasarkan catatan di laman sesawang transfermarkt, terdapat kemungkinan pemain terbabit dipilih kerana hubungannya dengan bekas import Terengganu FC, Domagoj Pusic.
Mereka yang pernah beraksi bersama-sama sebanyak 20 kali ketika berada di NK Osijek pasti pernah berbincang mengenai cabaran di Liga Super.
Walaupun hal itu tidak pernah didedahkan, latar belakang mereka seakan-akan membuktikan perkara terbabit dengan masing-masing merupakan anak jati Croatia.
Pusic sebelum ini beraksi untuk separuh musim bersama skuad Sang Penyu pada 2022 sebelum kontraknya ditamatkan berikutan isu prestasi.
Dia kini beraksi di liga kedua Croatia bersama Bijelo Brdo dengan satu gol dan satu bantuan jaringan direkodkan dalam 15 penampilan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram