Bekas 'coach' TRW teruja jadi keluarga Harimau Selatan, kongsi faktor besar sertai JDT


  • Podium
  • Selasa, 27 Feb 2024

Pol Corpas ketika bergandingan bersama Rezal Zambery dalam memimpin TRW pada musim 2022. — Facebook/TRW

BUKAN hanya pasukan utama Johor Darul Takzim (JDT) berwajah baharu musim ini, skuad simpanan Harimau Selatan juga menambah baik barisan kejurulatihan dengan membawa masuk bekas penganalisis video Lion City Sailors, Pol Corpas Cuatrecasas.

Pol Corpas bukan nama asing dalam dunia bola sepak tanah air apabila sebelum ini dia pernah bergandingan bersama Rezal Zambery dalam memimpin The Red Warriors (TRW) pada musim 2022.

Selepas episod hitam bersama Kelantan, kehebatan Pol Corpas ataupun nama Islamnya, Abu Bakar dalam bidang kejurulatihan menarik minat Lion City Sailors (LCS) untuk melantiknya sebagai penolong jurulatih Bawah-21 dan ketua analisis akademi LCS.

Tidak sampai setahun bersama kelab gergasi Singapura itu, Pol Corpas dilamar pula menjadi sebagai daripada keluarga JDT dengan menggalas peranan sebagai penganalisis video untuk skuad simpanan Harimau Selatan.

Berkongsi faktor terbesarnya memilih Harimau Selatan sebagai destinasi musim ini, Pol Corpas tanpa berselindung menyukai projek yang diketuai oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris selaku pemilik JDT.

BACA LAGI: Tidak kelihatan di padang latihan JDT, Syafiq Ahmad sibuk main bola dengan tonggak Kedah

WhatsApp Image 2024-02-27 at 18.18.48 (1)

Pol ketika bertugas sebagai penganalisis, penolong jurulatih B-21 serta ketua analisis akademi LCS. — Facebook/PolCorpas

"Saya sangat gembira dan bangga kerana akhirnya dapat mewakili kelab terbesar di Malaysia (JDT).

“Projek yang mereka jalankan, semua orang yang terlibat, dari pemain hingga ke barisan pengurusan antara faktor saya memilih JDT. Tanpa dinafikan, JDT adalah kelab yang menakjubkan dan besar," katanya kepada Majoriti.

Penganalisis video berusia 27 tahun itu bukan sekadar memuji kerana JDT sudah menjadi majikan baharunya namun jelas terbukti Harimau Selatan adalah sebuah kelab yang sukar ditandingi dalam saingan domestik.

Setakat ini, JDT satu-satunya pasukan Liga Malaysia yang mencipta sejarah merekodkan kejuaraan Liga Super 10 kali berturut-turut dan menjadi wakil tunggal Malaysia ke saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) sejak 2015.

WhatsApp Image 2024-02-27 at 18.18.48

Pol Corpas menyertai JDT II selepas hampir enam bulan bersama LCS. — Facebook/PolCorpas

BACA LAGI: ‘JDT elok je main di Larkin’, penyokong Perak tak perlu melatah kena beraksi di Manjung

Selain itu, JDT juga antara kelab yang mempunyai akademi sistematik dengan pencapaian yang begitu cemerlang sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan pelatihnya seperti Aysar Hadi Shapri, Adam Farhan Mohd Faizal, Muhd Feroz Baharudin sudah menembusi skuad utama Harimau Selatan.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada dia ingin menjadi barisan kejurulatihan JDT, Pol Corpas berkongsi bahawa dia kini hanya ingin fokus bersama JDT II dan ingin memberi segala kudratnya untuk pemain-pemain muda.

"Saya tidak memikirkan sama ada ingin menembusi skuad utama, saya hanya mahu melakukan kerja yang baik dengan JDT II.

"Saya akan cuba lakukan yang terbaik dan berikan yang maksimum kepada kelab," kata Pol Corpas yang pernah menjadi jurulatih di pasukan belia Girona berpusat di Girona, Catalonia, Sepanyol.

Musim 2024/2025 ini akan menyaksikan Pol Corpas akan bergandingan bersama jurulatih baharu JDT II, Juanmi Munoz yang dilantik sebagai pengganti pengendali sebelumnya, Mariano Echevarria. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram