Media Indonesia kecoh JDT berjaya goda CB kelab Itali, bangkit faktor gaji ‘masyuk’ masa pikat Jordi Amat


  • Podium
  • Ahad, 03 Mac 2024

Jay (kiri) sudah tampil dalam 14 perlawanan bersama Venezia musim ini. — Instagram/Jay

TIADA angin tiada ribut, tapi Johor Darul Takzim (JDT) tiba-tiba sahaja menjadi tumpuan penyokong bola sepak Indonesia apabila dikhabarkan juara bertahan Liga Super itu akan mengikat seorang pemain kebangsaan Skuad Garuda.

Memetik laporan media Indonesia, Bola Okezone, pemain pertahanan tengah yang kini beraksi bersama pasukan Serie B Itali, Venezia FC, Jay Idzes difahamkan akan menyertai JDT selepas pemain itu dilihat mengikuti Kiko Insa di laman Instagram.

Pada masa sama, portal negara jiran itu juga membangkitkan kekuatan dana yang dimiliki JDT untuk menawarkan gaji lumayan seperti mana diterima Bergson da Silva, Fernando Foriesteri dan Jordi Amat, sekali gus berpontensi cerah memikat Jay Idzes ke Stadium Sultan Ibrahim.

Kiko Insa dikenali sebagai ejen yang sering membawa pemain import kepada kelab Liga Malaysia dan antaranya ialah Jordi (Johor Darul Takzim), Liridon Krasniqi (bekas pemain Terengganu FC), Mario Arques (bekas import TRW) dan Levy Madinda (bekas Negeri Sembilan FC).

Perpindahan pemain berusia 23 tahun itu ke kem Harimau Selatan mula tersebar dalam kalangan penyokong Indonesia selepas ia didedahkan oleh pengguna TikTok, sepakbola_16 baru-baru ini.

BACA LAGI: Patut contohi Afiq Fazail, winger kiri JDT II wajib baiki prestasi yoyo

WhatsApp Image 2024-03-03 at 19.26.39

Pada Disember tahun lalu, Jay sudah mengangkat sumpah sebagai warganegara Indonesia. — Instagram/Jay

BACA LAGI: Tidak kelihatan di padang latihan JDT, Syafiq Ahmad sibuk main bola dengan tonggak Kedah

“Saya dapat banyak maklumat bahawa Jay Idzes nak pilih JDT, aduh. Tolong siapa yang baca ni, bagitahu Jay jangan pergi JDT.

"Kelab ini tak sesuai untuk dia, ia akan merosakkan kerjaya (Jay Idzes)," ungkap pemilik akaun itu sambil menunjukkan tanda bahawa pemain campuran Indonesia-Belanda itu sudah mengikuti Instagram Kiko Insa.

'Pemain ke-12' Indonesia rata-ratanya bimbang jika tawaran gaji yang lumayan akan menyebabkan Jay Idzes akan menyertai Harimau Selatan walaupun memiliki peluang beraksi di Eropah.

Jay Idzes yang berketurunan Belanda sah menjadi pemain naturalisasi Indonesia pada Disember tahun lalu.

Sebelum ini, para penyokong Harimau Selatan juga berhasil membawa pemain kebangsaan Indonesia berdarah Sepanyol, Jordi ke JDT walaupun hakikatnya ramai penyokong menolak perkara itu.

Jika pemain muda itu konsisten beraksi bersama Venezia FC dan menimba ilmu sebanyak mungkin dengan bintang bola sepak seperti bekas bintang Real Madrid, Denis Cheryshev, Jay pastinya mempunyai masa depan cerah di Eropah.

Namun, peluang beraksi bersama pasukan gergasi Eropah amat tipis jika dia memilih untuk menyertai pasukan Asia Tenggara seperti JDT, demikian sangkaan majoriti peminat bola sepak Indonesia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram