‘Buat menyemak saja’, fans negara jiran awal-awal pangkah kehadiran KL Rovers


  • Podium
  • Jumaat, 08 Mac 2024

KL Rovers berhasrat untuk beraksi dalam saingan domestik Singapura. — KL Rovers

KEJUTAN menimpa bola sepak Malaysia apabila kelab Liga M3, Kuala Lumpur Rovers atau KL Rovers memilih jalan berbeza dalam hala tuju kelab.

Dalam pada beberapa kelab seperti Harini FT, Imigresen FC serta Perlis United dalam usaha untuk merebut tempat ke Liga Super, Rovers memilih untuk menyeberang tambak dengan menyertai Liga Singapura.

Pihak pengurusan Rovers telah menulis kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan 'restu' mengenai niat mereka pergi bertarung di Kota Singa.

"Kelab kami, Kuala Lumpur Rovers FC telah memohon untuk menyertai Singapore Football League untuk musim 2024. Kami yakin setelah dua tahun bergelar naib juara Liga M3, kami layak untuk bersaing di liga tersebut dan seterusnya mengharumkan nama negara.

"Pihak kami amat berbesar hati agar hasrat kami ini mendapat sokongan dari Persatuan Bolasepak Malaysia dengan harapan ia dapat memberikan lebih banyak peluang kepada bakat-bakat tempatan untuk menyerlah potensi mereka di liga luar," tulis Rovers dalam surat rasmi mereka kepada FAM.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Al-Fatihah sekali, selawat 3 kali', Piya kongsi cara nyalakan semangat pemain TRW sebelum turun pentas final

387774819_795614039234699_1837764349061550526_n

KL Rovers merupakan naib juara Liga M3 pada musim 2023. — KL Rovers

BACA LAGI: Masa untuk Lions XII kembali? 3 pasukan boleh dijemput MFL sertai Liga Super

Berita mengenai hasrat Rovers untuk menyertai Liga Singapura telah mendapat perhatian di negara tersebut. Ini kerana, mereka tidak mahu wakil Malaysia datang beraksi di sana.

Walaupun taraf kualiti bola sepak Singapura berada di bawah Malaysia ketika ini, mereka tidak mahu penyertaan Rovers dalam saingan mereka seperti kehadiran kelab Brunei, DPMM FC serta wakil Jepun, Albirex Nigata.

"Kalau tak ada duit, lebih baik duduk saja main di Liga M3. Atau datang ke Singapura main dalam Islandwide League dan menang. Duit kemenangan dalam beberapa ribu ringgit tu nanti cukup nak beli nasi lemak," kata laman The Monitor SG kepada KL Rovers.

"Dah jangan datang, buat menyemak aje. Kita tak perlukan mereka sama seperti mereka tidak perlukan kita. Duduk saja di Malaysia, bayar gaji pemain biar elok dulu baru boleh cerita," kata warga Singapura bernama Ahmad Nizam.

"Mereka nak main di Singapura? Kalau datang ke perlawanan nanti naik basikal ke? Lepas tamat perlawanan terus kayuh balik KL?," soal Mohammad El-Barto Bakhtiar.

Sehingga kini, masih belum dapat dipastikan ke liga mana yang hendak disertai Rovers di Singapura. Walaupun mereka adalah negara kecil, tetapi Singapura mempunyai beberapa divisyen.

Menerusi surat yang ditulis kepada FAM, Rovers mengatakan hasrat menyertai Singapore Football League (SFL) yang merupakan saingan bawahan negara tersebut.

Dalam piramid bola sepak Singapura, Singapore Premier League (S-League) merupakan liga divisyen satu. Manakala Singapore Football League 1 (SFL1) adalah divisyen dua dan Singapore Football League 2 merupakan liga kelas tiga Kota Singa.

Islandwide League yang disebut laman The Monitor SG itu merupakan saingan amatur yang paling rendah dalam kasta bola sepak negara itu.

Oleh itu, berkemungkinan hasrat Rovers adalah untuk menyertai sama ada SFL1 atau SFL2 sebelum cuba untuk masuk ke dalam saingan SPL yang melibatkan kelab-kelab seperti Lion City Sailors, Tampines Rovers dan Hougang United. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram