DARI tahun ke tahun, bola sepak Malaysia sentiasa mempunyai ketua pasukan yang meninggalkan impak dan aura yang hebat kepada kelab diwakili mereka.
Nama-nama seperti Safiq Rahim, Shukor Adan serta Mazuki Yusof antara ketua-ketua pasukan yang pernah meninggalkan impak dan dianggap sebagai antara kapten terbaik dalam bola sepak negara.
Satu lagi nama yang dianggap sebagai ketua pasukan berpengaruh adalah legenda Kelantan FC iaitu Badhri Radzi. Dalam sejarah bola sepak moden Kelantan, Badhri adalah nama yang menjadi sebutan setiap kali berbicara mengenai kegemilangan The Red Warriors (TRW).
Mana tidaknya, pengaruh Badhri sebagai ketua dan juga pemain tengah berkualiti sentiasa menjadi nadi kepada kejayaan Kelantan pada era awal 2010-an di mana mereka menguasai bola sepak Malaysia.
Hasil pimpinannya, Kelantan mencapai puncak apabila berjaya merangkul gelaran treble pada 2012 apabila mereka memenangi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Badhri atau mesra dipanggil Piya ada rahsia tersendiri dalam meniupkan semangat para pemainnya. Terdapat satu rakaman yang menunjukkan bagaimana dia menaikkan api perjuangan pemain TRW ketika hendak merebut Piala FA menentang Lions XII pada 2015.
"(Malam ni) final, final, final, final. Kita nak malam ni kita menang, penyokong dah ada belakang kita sekarang ni.
"Minta tolong, minta tolong belako, tolong beraksi sehabis baik malam ni, al-Fatihah sekali, selawat tiga kali!," ujar Badhri kepada skuad Kelantan sebelum perlawanan.
BACA LAGI: Bas lama milik Kelantan tersadai, penyokong terkenang era kegemilangan TRW
BACA LAGI: Masih di awal liga, Kedah, TFC mula intai peluang rekrut 2 bintang import Kelantan FC
Itulah cara yang dilakukan oleh Badhri dalam menaikkan semangat rakan sepasukan dengan tidak sesekali melupakan ALLAH sebelum turun bermain.
Kelantan pada waktu itu turun bermain dengan cemerlang berdepan Lions XII namun sayang rezeki tidak menyebelahi TRW apabila mereka kecundang 1-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Melangkah ke hari ini, Badhri kini sudah meninggalkan Kelantan dengan dia sudah pun tidak beraksi sebagai pemain profesional. Kelab terakhirnya di peringkat profesional adalah Kelantan United FC.
Nama Badhri mungkin sudah tidak lagi dalam kelab Kelantan, tetapi legasinya akan terus mekar sebagai pemain paling berjaya dalam sejarah bola sepak TRW. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram