Ulang kesilapan di Qatar, pakar gusar apa nasib Harimau Malaya berdepan Oman


  • Podium
  • Rabu, 06 Mac 2024

Harimau Malaya kini berada di tangga teratas Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 hasil enam mata maksimum. — Facebook/FAM

SESI latihan berpusat skuad kebangsaan bakal berlangsung tidak lama lagi menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pertengahan bulan nanti.

Perlawanan ketiga dan keempat itu bakal menyaksikan Harimau Malaya berdepan Oman di tempat lawan pada 21 Mac sebelum menerima kunjungan mereka lima hari kemudian.

Latihan tersebut pasti menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air memandangkan ia bakal mengumpulkan pemain negara buat pertama kali sejak kempen Piala Asia dilabuhkan.

Namun, di sebalik keghairahan melihat wira kebangsaan, keluhan kini membanjiri media sosial apabila rata-rata peminat kecewa akan langkah pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Keputusan tidak mengadakan aksi persahabatan menjelang pertembungan kritikal terbabit dikhuatiri memberi kesan akan tahap kecergasan dan keserasian pemain.

Ketiadaan perlawanan kompetetif disebabkan saingan Liga Super yang masih belum bermula turut dibangkitkan ketika orang ramai mempersoalkan gaya pengurusan badan induk bola sepak negara itu.

BACA LAGI: Terima kejutan awal musim, 'ubi' Selangor gembira dapat dipanggil sertai Harimau Malaya

training. - FAM

Harimau Malaya hanya akan memulakan sesi latihan pada Jumaat. Facebook/FAM

Perasaan itu juga dikongsikan pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli yang melihat isu sebegitu pernah dihadapi sebelum ini.

"Jika benar tiada perlawanan pemanas badan, ini satu kesilapan yang berulang seperti mana sewaktu kita mahu menghadapi Piala Asia di Qatar, saya tak tahu nak cakap apa jika ini terjadi.

"Bermakna, pemain kita tidak beraksi hampir dua bulan, nak dapatkan semula kecergasan dan keserasaian sesama pemain itu bukanlah mudah kerana latihan dan situasi sebenar dua perkara berbeza," katanya kepada Majoriti.

Berdasarkan senarai panggilan, Kim Pan-gon memberi peluang kepada 33 pemain dengan beberapa daripada mereka merupakan 'ubi muda' dari skuad bawahan negara.

Dalam kempen Piala Asia yang lalu, skuad kebangsaan hanya mengadakan satu aksi persahabatan berdepan Syria sebelum pertandingan setelah Arab Saudi memilih untuk menarik diri daripada perlawanan itu.

Keputusan itu jelas mengundang padah apabila Harimau Malaya hanya meraih satu mata daripada tiga perlawanan yang meletakkan mereka di tangga tercorot.

BACA LAGI: Bekas 'coach' TRW teruja jadi keluarga Harimau Selatan, kongsi faktor besar sertai JDT

1899197

Pekan Ramli beranggapan ketiadaan aksi kompetetif akan memberi kesan buat pasukan negara.

Jelas Pekan lagi, cara terbaik yang sepatutnya dipraktikkan adalah dengan mengadakan sesi latihan lebih awal menjelang perlawanan berdepan Oman.

"Paling merisaukan adalah kita dah berehat lama, sepatutnya selepas gagal Piala Asia, kita teruskan latihan tanpa bercuti panjang.

"Kita baru nak mula latihan sekarang. Tambahan, ada pemain yang hanya akan melapor diri minggu depan. Ini perancangan yang kurang baik untuk Harimau Malaya," katanya.

Harimau Malaya kini berada di tangga teratas Kumpulan D setelah meraih dua kemenangan berdepan Kyrgyzstan dan Taiwan pada November tahun lalu.

Sekiranya berjaya menamatkan peringkat kumpulan di tangga dua teratas, skuad kebangsaan bakal layak ke Piala Asia 2027 secara automatik dan meneruskan usaha melayakkan diri ke Piala Dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram