BOLA sepak Malaysia tidak pernah sunyi daripada pelbagai detik-detik menarik yang dihasilkan tak kira dari dalam atau luar padang.
Antara detik menarik yang terhasil adalah ketika saat menjaringkan gol. Dari tahun ke tahun, pelbagai bentuk keraian gol terhasil di liga kita hingga ada yang menjadi begitu ikonik.
Ada keraian gol yang berbentuk provokasi, malah terdapat juga yang memberikan mesej tertentu kepada penyokong saat mereka gembira menghasilkan jaringan.
Dalam analisis ringkas Majoriti, kita akan menyingkap tiga keraian gol paling ikonik dan diingati dalam bola sepak Malaysia:
1. Kenny Athiu menentang Kedah
Pemain import Sri Pahang FC, Kenny Athiu pernah mencipta satu detik ikonik buat dirinya di Malaysia dengan cara dia meraikan gol ketika berdepan Kedah Darul Aman FC.
Berdepan Sang Kenari di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sri Pahang ketika itu dalam usaha memburu jaringan penyamaan selepas ditinggalkan Kedah di depan hasil jaringan Amirul Hisyam Awang Kechik.
Pada minit ke-29, Athiu menerima hantaran cantik Manuel Hidalgo dan itu membolehkannya mempunyai peluang menjaringkan gol. Ketika hendak melakukan penyudah, dia dijatuhkan oleh Ifwat Akmal.
Bola berjaya masuk ke dalam gol, dengan Athiu terus terjatuh akibat sentuhan Akmal. Melihat bola melintasi jaring, Athiu yang sedang terbaring di padang terus mengangkat tangannya meraikan jaringannya.
BACA LAGI: ‘Buat menyemak saja’, fans negara jiran awal-awal pangkah kehadiran KL Rovers
2. Amri Yahyah menentang Selangor
Hubungan antara Amri Yahyah dengan Selangor FC tidaklah begitu mesra selepas pemain itu meninggalkan kelab pada 2019.
Perkara itu jelas terpancar apabila setiap kali bertemu Selangor, Amri akan melakukan keraian terutamanya pasukannya berjaya menewaskan Gergasi Merah.
Sebagai contoh pada musim 2023, Amri melakukan provokasi apabila meraikan gol dengan gaya SIUUU yang sinonim dengan pemain Selangor iaitu Faisal Halim.
Selepas Sabah menewaskan Selangor 2-1 di Likas, Amri dilihat meraikan kemenangan The Rhinos dengan melakukan gaya sedemikian di bangku simpanan kelabnya. Walaupun ia tidak ditujukan secara terus kepada para pemain Selangor, niat untuk melakukan provokasi jelas sekali boleh dihidu dari perbuatannya.
3. Keraian ala WWE import Perak menentang Terengganu
Perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 dianggap sebagai aksi final terbaik dalam era moden kejohanan tersebut kerana penuh dengan drama.
Drama antara pemain-pemain import Perak FC dengan Terengganu FC berlanjutan sehingga ke masa tambahan. Di kala Terengganu yang begitu hampir memenangi Piala Malaysia pada kedudukan 3-2, pertahanan mereka iaitu Igor Zonjic melakukan kesilapan apabila tertampan bola ke gawang sendiri pada hujung permainan.
Wander Luiz (kiri) dan Leandro dos Santos (tengah) meraikan gol Perak. — Agensi
Kesilapan memakan diri itu nyata menjemput dua pemain Perak iaitu Wander Luiz dan Leandro dos Santos untuk pergi ke depan Zonjic yang tertunduk lalu bagi melakukan provokasi terhadapnya.
Luiz dan Leandro kemudiannya melakukan gaya ala bintang WWE, DgenerationX yang melakukan "suck it chop" di hadapan Zonjic.
Gol sendiri itu mengikat kedudukan menjadi 3-3 dan pemenang terpaksa dicari menerusi penentuan sepakan penalti. Perak menang penentuan tersebut lantas menjadi juara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram