PERKHABARAN bahawa Perlis United akan kembali ke Liga Super menjadi bahan bualan penyokong bola sepak tanah air yang cukup teruja dengan kelab berkenaan.
Mereka yang beraksi dalam Liga M3 musim lalu diberikan peluang ke divisyen teratas selepas membuktikan mereka memiliki sumber kewangan kukuh.
Selain itu, sejarah skuad Singa Utara yang membanggakan pasti akan menarik penyokong ke stadium, sekali gus menjadikan mutu Liga Super semakin rancak.
Tetapi, isu masih dihadapi kelab terbabit yang hanya berada di tangga kelapan Liga M3 2023 dengan ia menandakan kualiti pasukan masih belum memuaskan.
BACA LAGI: [VIDEO] Safee Sali 'ok' Perlis United ke Liga Super, janji penuhi syarat
Beberapa pemain tempatan boleh meninggalkan JDT pada jendela perpindahan kali ini. — MFL
Melihat kepada Perlis United ketika ini, mereka tidak memiliki pemain berpengalaman, seperti Harini FT dan Imigresen FC yang masing-masing menduduki kelompok tiga teratas.
Jadi, sekiranya mereka diberikan peluang ke Liga Super, langkah awal perlu diambil adalah dengan membawa masuk nama-nama besar sementara jendela perpindahan masih dibuka.
Bagaimanapun, dengan struktur kewangan kelab masih belum kukuh, skuad Singa Utara perlu membawa masuk pemain lokal yang terbuka untuk menyertai kelab demi minit permainan.
Sasaran terbaik pastinya Johor Darul Ta'zim (JDT) yang memiliki lambakan bintang tempatan tersisih dan terbuka untuk mencari minit permainan musim depan.
Melihat kepada skuad semasa Harimau Selatan, terdapat tiga nama yang sesuai disambar Perlis United sekiranya layak bersaing dalam Liga Super 2024/25.
1. Mohamadou Sumareh
Salah satu nama terbesar dalam JDT ketika ini ialah penyerang sayap, Mohamadou Sumareh yang kerap diletakkan di bangku simpanan sejak menyertai kelab itu.
Dia dikatakan sesuai untuk menyertai skuad Singa Utara tersebut adalah kerana dia pernah beraksi dalam pasukan itu selama semusim, iaitu pada 2016.
Meskipun mereka ketika itu beraksi dalam Liga Perdana, pemain kelahiran Gambia itu masih berjaya mencipta nama sehingga disambar Pahang FA.
BACA LAGI: Ada RM25 juta ke Liga Super, tapi ada yang persoal sumber penaja Perlis United
Sumareh (depan) ketika beraksi buat Perlis FA pada 2016.
Dari situ, Sumareh tidak lagi menoleh ke belakang apabila terus meningkat sebagai salah seorang pemain naturalisasi paling dikenali peminat.
Namun, dengan minit permainannya semakin terhad, Sumareh pasti terbuka untuk mencari angin baharu dengan Perlis United merupakan destinasi terbaik.
Sekiranya perpindahan itu dimeterai, pasukan terbabit tidak perlu lagi runsing dalam menguatkan barisan serangan musim depan.
2. Hazwan Bakri
Setelah bertahun-tahun berkhidmat buat skuad Harimau Selatan, Hazwan Bakri dilaporkan bersedia meninggalkan JDT bagi meraih minit permainan.
Penyerang yang dahulu pernah beraksi dalam pasukan kebangsaan itu kian dilupakan sehingga menyaksikannya terpaksa diletakkan pasukan simpanan.
Tetapi, hasrat berkenaan terkesan sedikit pada jendela perpindahan kali ini selepas penyerang kelahiran Labuan itu mengalami kecederaan serius pada hari terakhir Liga Super.
Hazwan kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan setelah dilepaskan JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Ia sekali gus menutup pintu buat pemain berusia 32 tahun berkenaan untuk mencari kelab baharu meskipun terdapat beberapa pihak berminat dengan khidmatnya.
Jadi, dengan Hazwan masih bergelut untuk kembali ke atas padang, pilihan terbaik untuknya adalah dengan menyertai Perlis United sekiranya mereka layak ke Liga Super.
Minit permainannya pasti terjamin dengan skuad Singa Utara yang tidak memiliki penyerang prolifik ketika ini dengan hanya 35 gol dijaringkan pasukan itu musim lalu.
Bagaimanapun, isu kecederaan dan kecergasan pasti akan menyulitkan perpindahan berkenaan dengan persefahaman adalah satu-satunya langkah terbaik buat kesemua pihak.
3. Farizal Marlias
Lambakan penjaga gol dalam JDT ketika ini menyaksikan beberapa pemain mula melangkah meninggalkan kelab itu, seperti Haziq Nadzli yang berhijrah ke Perak FC.
Malah, beberapa pemain lain di posisi itu dijangka mengikut jejak langkah itu, terutamanya Farizal Marlias yang sering disisihkan berikutan kehadiran Syihan Hazmi musim lalu.
Meskipun masih mampu melakukan tepisan menakjubkan, bekas kapten Harimau Malaya tersebut sudah semakin berusia yang dikhuatiri akan memberi kesan terhadap kecergasannya.
Minit permainan terhad boleh mendesak Farizal untuk mencari kelab baharu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Jadi, sekiranya Farizal mahu mencari angin baharu, Perlis United merupakan destinasi terbaik buat anak jati Maran, Pahang itu sebelum jendela perpindahan ditutup.
Selain berpotensi diberikan peluang lebih kerap, penjaga gawang itu boleh menghidupkan semula zaman permainannya selama dua tahun bersama kelab Utara tanah air itu.
Tetapi, dengan JDT masih memerlukan karakternya sebagai watak senior, terdapat kemungkinan Farizal tidak akan dilepaskan pada jendela perpindahan kali ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram