Ada pro-kontra adakan 'friendly' sebelum berdepan Oman — Safee Sali


  • Podium
  • Khamis, 07 Mac 2024

Safee Sali pernah diangkat sebagai salah seorang penyerang terbaik negara ketika berada di kemuncak kariernya.

PERSIAPAN Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dikritik ramai kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mengadakan perlawanan persahabatan.

Keputusan tersebut dikhuatiri hanya akan menjejaskan tahap kecergasan pemain yang kali terakhir beraksi secara kompetitif dalam Piala Asia lalu.

Selain itu, tempoh latihan yang terlalu singkat dikhuatiri akan menyebabkan keserasian anak-anak buah Kim Pan-gon terganggu ketika perlawanan.

Tetapi, dengan hanya tiga minggu berbaki sebelum aksi berdepan Oman, aksi persahabatan atau 'pemanas badan' tidak boleh lagi dijadualkan.

Bagaimanapun, bagi bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali, ketiadaan perlawanan persahabatan dilihat bukanlah isu besar buat Harimau Malaya.

BACA LAGI: Harimau Malaya bakal 'tempang' tanpa persiapan menjelang aksi bertemu Oman?

2576895

Pemain negara masih belum melaporkan diri ke kem latihan Harimau Malaya. Facebook/FAM

"Saya rasa mereka bersedia, cuma risau dari segi tahap kecederaan kerana musim masih belum bermula. Pasti semua pemain miliki masalah sama. Sekarang fasa bina balik keserasian dan kecergasan," katanya kepada Majoriti.

Pasukan negara bakal berdepan Oman dalam aksi ketiga dan keempat Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di tempat lawan pada 20 Mac sebelum perlawanan di laman sendiri enam hari kemudian.

Anak-anak buah Pan-gon bakal memulakan sesi latihan pada 8 Mac, namun pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) hanya akan melaporkan diri pada 15 Mac.

Tambah Safee lagi, penganjuran aksi persahabatan sebelum dua perlawanan itu memiliki baik dan buruknya kerana pemain terdedah kepada kecederaan.

BACA LAGI: Ulang kesilapan di Qatar, pakar gusar apa nasib Harimau Malaya berdepan Oman

2392830

Pan-gon pasti runsing akan persiapan skuad kebangsaan menjelang aksi penting itu nanti. Facebook/FAM

"Aksi pemanas badan ada pro kontra. Kalau persahabatan mendatangkan kecederaan pemain utama, ini akan menjejaskan kesihatan mereka.

"Saya rasa pengendali sudah tahu tahap pemain. Kalau nak buat persahabatan tak perlu dengan negara besar kerana antara kelab pun boleh untuk uji kecergasan," katanya.

Kemenangan dalam dua perlawanan itu akan menyaksikan skuad kebangsaan meraih tiket ke Piala Asia 2027 dan mara ke peringkat seterusnya bagi Kelayakan Piala Dunia 2026.

Harimau Malaya kini berada di tangga teratas Kumpulan D setelah mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Taiwan dan Kyrgyzstan pada November lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram