PENGUMUMAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengenai keputusan memberikan lesen bersyarat kepada Perlis United untuk beraksi dalam Liga Super musim depan menerima respons orang ramai.
Perkhabaran itu malah mendapat reaksi daripada pemerhati dan penyokong bola sepak tempatan yang mengikuti rapat berita Liga Malaysia sebelum ia bakal berlangsung Mei depan.
Bekas bintang bola sepak kebangsaan, Safee Sali berpendapat, tiada salahnya jika Perlis United yang sebelum ini beraksi di Liga M3 bersaing dengan kelab-kelab di Liga Super.
Menurutnya, dia merestui jika kelab tersebut beraksi semula dalam saingan divisyen tertinggi Malaysia musim ini bersama kelab-kelab sedia ada.
Bekas pemain Johor Darul Ta'zim itu bagaimanapun menegaskan pasukan dengan jolokan Singa Utara itu sepatutnya perlu lebih dulu menyelesaikan sebarang hutang seperti tunggakan gaji bekas pemain, jurulatih dan pemain.
"Sebelum mereka dibenarkan beraksi di peringkat tertinggi perkara itu perlu diselesaikan dahulu dan buktikan dengan pelaksanaan. Selesaikan masalah seperti masalah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hutang gaji dengan pemain, jurulatih.
"Kemudian baru fikir nak main Liga Super. Perlis bukan tak bagus sebab ada crowd dan penyokong yang ramai," katanya kepada Majoriti.
Skuad Singa Utara menamatkan saingan Liga M3 musim lalu di tangga kelapan. — Facebook/Perlis United
Dalam pada itu, Safee turut berpendapat bahawa kelab Utara tanah air tersebut tidak boleh menggunakan nama sama iaitu Perlis United sekiranya belum menyelesaikan masalah tunggakan kepada badan induk bola sepak dunia berkenaan.
"Nama Perlis dah tak boleh digunakan untuk liga di Malaysia. Untuk gunakan Perlis perlu menyelesaikan isu sebelum itu.
"Jika nak beraksi di bawah naungan FA, mereka perlu selesaikan perkara itu baru FIFA boleh beri izin nak guna nama Perlis," katanya.
Sebelum ini, Perlis United difahamkan berpotensi menerima penajaan berjumlah RM25 juta daripada empat potensi penaja untuk bertanding di Liga Super.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam diberi penghormatan untuk melakukan pelepasan kepada peserta CSR Demi Rimba Kita.
Safee ditemui ketika Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Demi Rimba Kita 2024 anjuran Astro pada Khamis.
Selain Safee Sali, legenda bola sepak lain seperti Zainal Abidin Hassan, Azman Adnan dan Razman Roslan turut terlibat dalam Program CSR Rimba Kita 2024.
Seramai 35 peserta menyertai program komuniti yang pertama kali diadakan bertujuan sebagai pemanas badan untuk Liga Malaysia musim ini serta untuk membina hubungan baik di antara hos/tetamu pakar bola sepak Astro bersama rakan-rakan media yang terlibat.
Selain itu, CSR yang bertemakan alam sekitar itu menyemarakkan lagi kempen Rimba Kita iaitu inisiatif yang dijalankan oleh Astro sejak tahun lalu dalam memupuk tanggungjawab bersama-sama menjaga, merawat dan melestarikan alam sekitar kepada orang ramai.
Tahun 2023 menyaksikan Astro muncul sebagai rakan penyiar rasmi Liga Malaysia selepas sembilan tahun tidak menyiarkan siaran langsung perlawanan Liga Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith, bersama peserta-peserta dan kru Demi Rimba Kita 2024.
Meskipun pada awalnya kehadiran Astro membawa pelbagai persepsi peminat namun Astro membuktikan kemunculan semula dalam arena bola sepak tempatan telah membawa kemeriahan dan telah menaikkan prestij bola sepak tempatan di kaca mata peminat.
Astro berbangga dengan pencapaian musim lalu apabila mencatat hampir sembilan juta tontonan peminat yang menyaksikan siaran langsung Liga Malaysia yang penuh komprehensif termasuk kualiti siaran yang lebih baik dalam definisi tinggi (HD).
Perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu yang membabitkan pasukan JDT menentang Terengganu FC pula antara perlawanan yang berjaya mencatat rating tertinggi perlawanan Liga Malaysia sekali gus mengatasi rating aksi perlawanan antarabangsa yang membabitkan pasukan Harimau Malaya dengan mencatat 2.6 juta tontonan.
Selain itu, Astro telah meletakkan satu penanda aras dalam kualiti penyiaran sukan tempatan apabila melakar kejayaan besar apabila buat julung kalinya membawakan siaran langsung aksi sukan tempatan untuk perlawanan akhir Piala Malaysia dalam paparan Definisi Ultra Tinggi 4K (4K UHD) termasuk kualiti audio terbaik dari Dolby Atmos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram