Kedah lebih rugi berbanding TFC, Pahang tiap kali jumpa JDT musim depan


  • Podium
  • Khamis, 07 Mac 2024

Pertembungan hangat sering disaksikan setiap kali JDT berdepan KDA FC di pentas domestik. — Facebook/KDA FC

SEPANJANG jendela perpindahan dibuka, Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi antara pasukan tersibuk membawa masuk rekrut baharu serta melepaskan pemain yang kurang memberi impak.

Antara yang secara rasmi tidak lagi bersama kelab itu ialah Adam Nor Azlin yang menyertai Sri Pahang FC dan bekas penyerang kebangsan, Hazwan Bakri.

Namun, ada juga yang dilepaskan JDT dengan status pinjaman kerana masing-masing masih mampu memberi sumbangan meskipun sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Kemasukan pemain-pemain itu pasti menimbulkan keriangan buat penyokong pasukan Liga Super yang lain kerana masing-masing memiliki kemampuan untuk meningkatkan kualiti pasukan.

Tetapi, masih terdapat kegusaran yang dirasakan apabila pemain dipinjamkan tidak akan dapat diturunkan setiap kali berdepan JDT seperti mana terjadi pada tahun-tahun sebelum ini.

BACA LAGI: Ketiadaan KL City FC, KDA FC buat Liga M hambar, rencat perancangan bola sepak

429881011_440681938312989_3169592330664397475_n

Syafiq Ahmah disahkan sebagai rekrut baharu skuad Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Skuad Sang Penyu dilihat sebagai pasukan paling terkesan setelah membawa masuk Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Azam Azmi Murad secara pinjaman.

Bagaimanapun, lambakan pilihan lain di samping pendekatan taktikal fleksibel daripada Tomislav Steinbruckner pasti tidak akan membuatkan pasukan itu terjejas setiap kali berdepan JDT.

Selain itu, ada yang beranggapan Sri Pahang FC akan bergelut sekiranya pemain sayap, Manuel Hidalgo tidak dapat diturunkan berdepan majikannya itu.

Tetapi, pandangan berkenaan boleh dikatakan kurang meyakinkan memandangkan kelab Pantai Timur tersebut turut memperkuatkan barisan serangan dengan mengumumkan kehadiran T Saravanan dan Sean Selvaraj.

Sebaliknya, Kedah Darul Aman (KDA) FC yang membawa masuk Syafiq Ahmad secara pinjaman boleh menjadi pihak paling terkesan meskipun hanya seorang pemain dipinjamkan dari skuad Harimau Selatan ke kelab utara itu.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga sebab utama pasukan kendalian Nafuzi Zain itu akan bergelut sekiranya kehilangan penyerang itu dalam aksi berdepan JDT.

1. Kekurangan penyerang

Setakat ini, KDA FC hanya mengumumkan kehadiran empat rekrut baharu dengan hanya Syafiq merupakan pemain yang boleh beraksi dalam barisan serangan.

Hal berkenaan sudah cukup untuk menceritakan bahawa kehilangan penyerang kebangsaan itu akan membawa tamparan hebat terhadap skuad Sang Kenari.

BACA LAGI: Dah tiba masa ganti Ifwat, KDA FC antara 3 kelab patut sambar Rahadiazli

2370798

Syafiq memilki pengalaman beraksi dalam skuad kebangsaan sebanyak beberapa kali. Facebook/FAM

Meskipun terdapat Sony Norde akan menyertai pasukan itu tidak lama lagi, perbezaan posisi membuatkan pemergian Syafiq sukar diisi.

Situasi terbaik boleh diambil KDA FC adalah dengan membawa masuk seorang lagi penyerang yang tidak terkesan sekiranya hanya menjadi penyerang sandaran kepada Syafiq.

Nafuzi juga boleh memberi peluang kepada pemain daripada skuad Piala MFL ketika berdepan JDT meskipun tahu ia akan menumpulkan barisan serangan.

2. Pemain KDA FC kurang berpengalaman

Sekiranya dilihat kepada senarai pemain dikekalkan skuad Sang Kenari musim depan, hanya enam daripada mereka, termasuk Syafiq pernah beraksi bersama Harimau Malaya.

Jumlah berkenaan boleh dikatakan lebih rendah berbanding Terengganu FC dan Sri Pahang FC yang masing-masing mempunyai lambakan pemain dengan pengalaman di pentas antarabangsa

Ini membuktikan bahawa rata-rata daripada mereka belum berada dalam tahap cemerlang untuk meraih tempat dalam skuad kebangsaan.

431397242_440824851632031_4919980071718779011_n

Skuad Sang Kenari ketika ini masih kurang meyakinkan. Facebook/KDA FC

Cabaran besar terpaksa dihadapi sekiranya berdepan JDT, lebih-lebih lagi tanpa kelibat Syafiq yang mengumpul 37 penampilan bersama skuad kebangsaan.

Kehilangannya akan membuatkan pemain berasa tertekan, sekali gus membolehkan skuad Harimau Selatan meraih tiga mata penuh dalam perlawanan di tempat lawan, apatah lagi di laman sendiri.

Pengambilan import merupakan penyelesaian terbaik buat kelab itu memandangkan pemain kebangsaan yang berada dalam pasaran ketika ini semakin terhad.

Namun, dengan isu kewangan masih menghantui KDA FC, perancangan terbaik perlu dibuat dalam misi memastikan KDA FC berada di tahap terbaik bagi setiap perlawanan selain mengelak terjerumus ke kancah kemelut kewangan pada musim ini.

3. Harapan besar penyokong di bahu Syafiq

Kemasukan Safawi dan Akhyar ke dalam skuad Sang Penyu boleh dikatakan sebagai satu langkah untuk menyempurnakan finalis Piala Malaysia 2023 itu kerana pasukan dimiliki musim lalu sudah cukup lengkap.

Situasi itu turut dihadapi Sri Pahang FC kerana keputusan mendapatkan Hidalgo bukanlah perkara kritikal dalam perancangan pasukan yang serba lengkap setelah kehadiran muka-muka baharu.

Tetapi, bagi KDA FC pula, kemasukan Syafiq membawa nafas baharu apabila orang ramai boleh memberikan harapan besar buatnya sepanjang musim, lebih-lebih lagi dalam perlawanan getir.

428704682_387957837278990_2510499282393679935_n

Kehilangan Safawi atau Akhyar tidak akan memberi tamparan hebat buat skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Meskipun sentuhannya kurang ditagih sepanjang bersama JDT, penyerang kelahiran Pulau Pinang itu masih memiliki sentuhan magis sekiranya diberikan peluang.

Jadi, sekiranya pemain tersebut tidak dapat beraksi berdepan skuad Harimau Selatan, penyokong Hijau Kuning pasti akan merindui kelibatnya.

Walaupun mereka hanya bertembung antara satu sama lain dua kali dalam saingan Liga Super, ia boleh dianggap aksi tumpuan melihat kepada sejarah lampau kedua-dua mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram