[VIDEO] Ramai sangat jumpa sampai terpaksa pasang 'bodyguard' — Akhyar


  • Podium
  • Khamis, 07 Mac 2024

Kehadiran Akhyar membuatkan penyokong Sang Penyu teruja untuk musim baharu. — Facebook/Terengganu FC

PERPINDAHAN Akhyar Rashid secara pinjaman ke Terengganu FC membuatkan rata-rata penyokong bola sepak tanah air teruja akan perkhabaran itu.

Manakan tidak, dia yang memiliki bakat terpendam kerap disisihkan di bangku simpanan Johor Darul Ta'zim (JDT) gara-gara lambakan pemain import dalam pasukan berkenaan.

Tetapi, sekiranya diberikan peluang, anak jati Kedah tersebut jarang mengecewakan dengan kebolehannya memburu jaringan dan mengelirukan pihak lawan sukar dipertikaikan.

Jadi, tidak hairanlah apabila kelibatnya di samping seorang lagi pemain pinjaman JDT, Safawi Rasid dalam sesi latihan pramusim pertama skuad Sang Penyu hangat diperkatakan.

BACA LAGI: Cinta Lee Tuck buat Terengganu bukan baharu, masih mekar mewangi selepas bertahun

2275504

Akhyar kurang diberikan peluang beberapa musim kebelakangan ini bersama JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Berdasarkan perkongsian di laman media sosial kelab, ratusan penyokong hadir menyaksikan sesi yang diadakan di Gong Badak, Terengganu.

Selain tidak mahu melepaskan peluang melihat kebolehannya di padang latihan, orang ramai berkesempatan meminta tandatangan Akhyar serta Safawi sebagai kenangan.

Sambutan menggalakkan tersebut membuatkan Akhyar cukup teruja dengan masa singkatnya di kelab Pantai Timur itu, sekali gus menjadikan ia pendorong motivasi musim depan.

"Saya amat terharu, terlalu ramai yang datang berjumpa sehingga saya tidak sempat untuk ke bilik persalinan dan terpaksa memasang pengawal peribadi.

BACA LAGI: Tak dimahukan Terengganu buat fans kelab Borneo idamkan Lee Tuck

"Saya rasa teruja kerana bukan senang untuk ada penyokong yang ramai dalam sesi latihan pertama. Saya tidak menjangkakannya, jadi saya rasa tahun ini Insya-ALLAH stadium akan penuh dalam setiap perlawanan," katanya.

Sebelum ini, tular satu rakaman memaparkan import baharu, Ismahil Akinade mengawal kedua-dua mereka ke bilik persalinan selepas sesi latihan.

Bagaimanapun, tidak diketahui sekiranya penyerang kelahiran Nigeria itu dimaksudkan Akhyar atau pemain sayap tersebut sememangnya mengupah seorang pengawal peribadi.

Selain Safawi dan Akhyar, seorang lagi pemain yang dipinjamkan JDT ke Terengganu FC untuk saingan musim depan ialah bek kanan, Azam Azmi Murad.

Kehadiran ketiga-tiga bintang itu pasti diharapkan pengendali, Tomislav Steinbruckner dalam membantu skuad Sang Penyu ke kedudukan lebih baik, lebih-lebih lagi dalam Liga Super. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram