MASA semakin hampir untuk Harimau Malaya kembali beraksi di dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan dua perlawanan bakal diharungi pada Mac.
Dengan Malaysia bakal berdepan aksi berganda (double-header) menentang Oman pada 22 dan 26 Mac, peluang untuk mengesahkan tempat sebagai juara kumpulan sekali gus layak ke pusingan ketiga kelayakan.
Keterujaan dalam kalangan penyokong nyata membara kerana melihat peluang untuk membawa pulang keputusan positif dalam dua aksi tersebut kelihatan luas. Namun begitu, ia mungkin tidak akan menjadi seperti yang diharapkan.
Hal ini kerana, Harimau Malaya dijangka akan tampil 'tempang' sebelum perlawanan menentang Oman disebabkan ketiadaan persiapan rapi untuk perlawanan tersebut.
Menurut sumber dalaman Majoriti, Malaysia dikatakan tidak akan melakukan sebarang perlawanan persahabatan untuk memanaskan 'enjin' para pemain sebelum terbang ke Oman.
BACA LAGI: Kehadiran tonggak kelab EPL berdarah Melaka mampu realisasikan misi Malaysia ke Piala Dunia
Malaysia berpeluang untuk mengesahkan tempat ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia jika menang dua kali bertemu Oman. — FAM
BACA LAGI: Harimau Malaya muncul 'top 3' kutip mata ranking paling tinggi
Perkara ini berlaku kerana jumlah kos yang tinggi telah menyebabkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memilih untuk tidak melakukan sebarang perlawanan persahabatan sebelum berdepan Oman.
Sepatutnya, Harimau Malaya dijangka akan turun menentang dua lawan berbeza di Dubai, Emiriah Arab Bersatu sebelum terbang ke Oman tetapi atas faktor kewangan, ia terpaksa dibatalkan.
Perkara ini nyata akan menyukarkan skuad kendalian Kim Pan-gon kerana dua perlawanan bertemu Oman amat penting untuk menentukan masa depan Malaysia dalam kelayakan Piala Dunia.
Dengan semakin hampir untuk mendapatkan tempat di pusingan kelayakan yang seterusnya, jika hasil positif daripada aksi berganda ini tidak berjaya diperoleh ia akan menipiskan peluang Malaysia.
Situasi sukar ini pastinya akan memberi kesan kepada Harimau Malaya. Dengan Liga Super tidak akan berlangsung sehingga Mei, para pemain pastinya 'berkarat' kerana ketiadaan aksi kompetitif sebelum kelayakan Piala Dunia.
Sebagai perbandingan, negara-negara Asia Tenggara yang lain masih berjalan liganya menjelang aksi kelayakan. Saingan Vietnam akan ditangguhkan pada 9 Mac, manakala Thailand dan Indonesia akan dihentikan seketika pada 10 dan 17 Mac.
Jika tiada perlawanan persahabatan rasmi yang diadakan untuk Malaysia sebelum bertemu Oman, diharap FAM akan tetap mengadakan aksi secara tertutup supaya minit permainan untuk pemain masih terjaga.
Seandainya ia tidak diadakan, Malaysia boleh ucapkan selamat tinggal kepada potensi enam mata yang boleh diambil daripada dua perlawanan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram