PENYERANG muda Kuala Lumpur (KL) City FC, Haqimi Azim Rosli, mengakui kesulitan yang dialaminya ketika ini tidak banyak membantunya untuk mempersiapkan diri menjelang sesi latihan skuad senior kebangsaan yang bermula Jumaat ini.
Haqimi Azim antara 33 pemain yang dipilih Kim Pan-gon untuk menyertai kem latihan berpusat Harimau Malaya mulai 8 Mac bagi mempersiapkan diri menghadapi perlawanan ketiga dan keempat Kumpulan D kelayakan pusingan dua Piala Dunia 2026-Piala Asia 2027.
Masalah dalaman yang melanda pasukan Warga Kota masih tidak menemui penamatnya apabila pihak pengurusan kelab berkenaan masih bergelut untuk mencari dana bagi membayar tunggakan gaji pemain dan jurulatih.
Situasi negatif itu membuatkan pasukan Lembah Klang itu masih tidak membuat sebarang persiapan latihan pra musim sehingga Haqimi Azim terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk menjalani latihan bersama skuad Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur sejak dua minggu lalu.
BACA LAGI: Maaf Selangor, isu gaji tak lunturkan rasa cinta Haqimi buat KL City
Haqimi Azim sekali lagi terpilih ke kem latihan berpusat Harimau Malaya yang bermula pada Jumaat ini. — Instagram/HaqimiAzim
BACA LAGI: Saya tetap Harimau Malaya', Haqimi Azim sedia sahut panggilan Piala Asia 2023
"Saya berada dalam pasukan kebangsaan tahun ini, jadi saya mahu mempersiapkan diri saya sebab ramai tahu, KL City masih belum memulakan latihan.
"Jadi saya bekerja keras untuk mencari latihan sendiri, kecergasan sendiri untuk mengekalkan stamina saya bagi panggilan kebangsaan nanti," katanya memetik laporan Stadium Astro pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, pemain berusia 21 tahun berkenaan juga mengesahkan untuk kekal bersama pasukan The City Boys walaupun masalah gaji itu memaksa beberapa pemain membuat keputusan untuk meninggalkan KL City.
"Sebagai pemain muda, saya memerlukan banyak pengalaman dan saya kekal dahulu di KL City demi menimba pengalaman dan mencari gaya permainan dan minit permainan.
"Jadi saya kekal bersama KL City untuk musim ini," katanya.
Sebelum ini, Selangor FC disebut ingin mendapatkan khidmat prospek skuad kebangsaan itu bagi memperkuatkan serangan bagi saingan musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram